BISNES
Iskandar Malaysia Studios catat lebih 100 projek penggambaran, jana RM1.2 bilion sejak 2014

IMS yang dibangunkan di atas kawasan seluas 32 hektar, dilengkapi fasiliti penggambaran bertaraf antarabangsa termasuk pentas penggambaran filem, studio televisyen, tangki penggambaran dalam air dan set kekal.
ISKANDAR PUTERI: Dalam tempoh hampir 11 tahun pengoperasian, Iskandar Malaysia Studios (IMS) yang terletak di Persiaran Layar Perak di sini, merekodkan lebih 100 projek penggambaran dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1.2 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Rashid Karim berkata angka itu melibatkan produksi dari dalam dan luar negara termasuk syarikat-syarikat produksi dari China, Amerika Syarikat dan Singapura.
"Dari segi impak kepada ekonomi dan peluang pekerjaan, produksi di IMS berjaya mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan tempatan sejak ia mula beroperasi. Kita akan terus melabur untuk mempertingkatkan lagi kualiti tenaga kerja kru tempatan," katanya kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Set Perfileman Hospital dan Balai Polis di studio berkenaan hari ini.
IMS yang dibangunkan di atas kawasan seluas 32 hektar, dilengkapi fasiliti penggambaran bertaraf antarabangsa termasuk pentas penggambaran filem, studio televisyen, tangki penggambaran dalam air dan set kekal.Katanya untuk fasa tiga dan empat, pihaknya akan menambah set perfileman melibatkan kapal terbang, kokpit, penjara, kereta api, billik mahkamah dan set perkampungan Melayu yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan menggantikan skrin hijau dengan LED bagi produksi maya.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia Datuk Hans Isaac yang hadir merasmikan set perfileman berkenaan, berkata usaha ISM membina set penggambaran tersendiri memudahkan proses produksi, terutamanya yang melibatkan lokasi sensitif seperti hospital dan balai polis.
"Memang susah hendak dapatkan kebenaran buat penggambaran di lokasi sedemikian, terutamanya hospital. Jadi, ini satu inisiatif yang sangat bagus," katanya.
Hans berkata Malaysia kini menawarkan persekitaran penggambaran yang lebih mesra industri dengan kos kompetitif, kemudahan lengkap serta tenaga kerja profesional dalam pelbagai bidang teknikal termasuk sinematografi, solekan dan kesan khas.
Sehubungan itu beliau menyangkal tanggapan sesetengah pihak bahawa proses penggambaran di Malaysia ini sukar apabila ada penerbit memilih melakukan penggambaran di negara lain.
"Kadang-kadang bila satu produksi tarik diri atas sebab tertentu, orang ingat Malaysia yang susah. Itu tidak benar. Malaysia kini mempunyai dasar yang terbuka kepada semua jenis produksi, sama ada kos sederhana atau besar," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami