Skip to main content

Bisnes

Isu kargo K8: Pemain industri kecewa, dakwa belum terima penjelasan rasmi

Pelabuhan Klang
Syarikat itu bersedia menyerahkan laporan berkaitan pemunggahan dan penyimpanan kargo berkenaan, termasuk rekod jumlah kargo, tangki yang digunakan serta inventori sedia ada sebelum proses pemunggahan. - Foto fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pemain industri maritim melahirkan kekecewaan kerana mendakwa masih belum menerima penjelasan atau penetapan rasmi daripada agensi kerajaan berkaitan mengenai isu pengendalian kargo petroleum yang diisytiharkan di bawah K8.

K8 merujuk kepada Borang Kastam K8, iaitu satu pengikraran kastam bagi barangan yang berada di bawah kawalan kastam dan tidak diimport untuk kegunaan atau jualan dalam negara.

Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata pihaknya telah berusaha mendapatkan penjelasan daripada pelbagai agensi, jabatan dan kementerian sejak 27 April hingga 20 Ogos lalu, namun belum menerima sebarang keputusan rasmi.

Menurutnya, antara perkara yang masih memerlukan penetapan ialah sama ada kargo petroleum di bawah deklarasi K8 boleh disimpan dalam tangki pantai yang dikongsi, sama ada kargo berkenaan boleh dicampur atau digabungkan serta kesahihan jenis deklarasi yang digunakan.

“Pada penelitian pihak kami, perkara ini amat serius dan memerlukan respons serta-merta daripada kerajaan yang menanggung kerugian daripada aktiviti ini,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd dalam satu kenyataan, hari ini.

Jeyenderan menambah, lebih mengecewakan apabila pihaknya didakwa seolah-olah dipersalahkan berhubung isu itu, sedangkan mereka telah mengumpulkan maklumat dan dokumen berkaitan sebelum menyerahkannya kepada pihak bertanggungjawab.

Dakwanya lagi, ketiadaan penetapan rasmi turut mendedahkan pihaknya kepada risiko operasi, kewangan dan perundangan, selain berpotensi menyebabkan kehilangan peluang perniagaan.

“Kami menjalankan perniagaan dan tidak mampu menanggung risiko lesen dibatalkan ataupun risiko kewangan dan perundangan seperti dinyatakan dalam Seksyen 35J(4) Akta Kastam 1967, selain kerugian perniagaan akibat kecuaian dan kelalaian pihak terlibat,” ujarnya.

Jeyenderan berkata sebagai sebuah agensi perkapalan Malaysia, syarikatnya telah melaksanakan tanggungjawab dengan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan berhak mendapatkan penjelasan yang tepat serta menyeluruh.

Katanya, syarikatnya juga bersedia menyerahkan laporan berkaitan pemunggahan dan penyimpanan kargo berkenaan, termasuk rekod jumlah kargo, tangki yang digunakan serta inventori sedia ada sebelum proses pemunggahan.

Sebelum ini, Jeyenderan dilaporkan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu berkenaan.

Astro AWANI akan mendapatkan kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa yang terlibat mengenai dakwaan ini.

Must Watch Video

Advertisement