ALOR SETAR: IsyaratKafe, sistem pesanan digital yang direka untuk membantu kafe kecil menggaji barista pekak, meraih pengiktirafan Peserta Berimpak Tinggi di Pentas CIPTA, Jelajah Jiwa SME 2026 edisi Kedah.
Inovasi itu dibangunkan oleh dua pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Nurul Asriena Mohammad dan Siti Norizzati Rosli.
Kedua-dua pengasas itu berkata, penyertaan dalam Pentas CIPTA memberi mereka peluang memperkenalkan inovasi berkenaan sambil mendapatkan bimbingan untuk mengembangkan idea mereka.
“Penyertaan kami dalam program JIWA SME merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna dan mengujakan kerana kami bukan sahaja berpeluang memperkenalkan inovasi IsyaratKafe, malah dapat menimba ilmu, menerima tunjuk ajar daripada mentor kami serta merealisasikan idea kami untuk membina perniagaan yang lebih inklusif dan memberi manfaat kepada masyarakat,” kata mereka.
Pengiktirafan itu diumumkan pada 23 Oktober lalu di Aman Central, Alor Setar, selepas penilaian panel juri yang mewakili Astro AWANI, Unifi Business dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Edisi Kedah menyaksikan Pentas CIPTA menobatkan dua pemenang buat kali pertama, dengan kedua-dua penyertaan datang daripada STHEM UUM.
IsyaratKafe mengurangkan kebergantungan pada komunikasi lisan di kaunter dengan membolehkan pelanggan mengimbas kod QR dan memilih pesanan menggunakan ikon pada telefon masing-masing.
Apabila pesanan masuk, tablet barista berkelip, manakala telefon dan jam pintar mereka bergetar supaya pesanan baharu dapat dikesan walaupun barista sedang membancuh minuman.
Nombor pesanan turut dipaparkan pada telefon pelanggan, sekali gus membolehkan pesanan dikenal pasti tanpa memanggil nama mereka di kaunter.
Sambil menunggu, pelanggan boleh menonton 10 video pendek yang mengajar ungkapan asas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).
Prototaip itu sudah berfungsi pada telefon iOS dan Android tanpa perlu dimuat turun daripada gedung aplikasi, manakala penggunaan peranti sedia ada membantu kafe kecil mengurangkan kos pelaksanaan.
Pendekatan itu menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 8 dan 10 dengan membuka peluang pekerjaan yang lebih inklusif dan mengurangkan halangan komunikasi di tempat kerja.
Pasukan IsyaratKafe merancang menjalankan program rintis bersama kafe dan pusat latihan orang kurang upaya (OKU), termasuk membangunkan modul latihan untuk barista pekak serta menyesuaikan menu dan paparan mengikut identiti setiap kafe.
Projek itu dibimbing oleh Dr Muhammad Nur Hidayat Mohd Salim, Norhafizi Nordin, Umme Umaimah Amin dan Siti Aminah Hasbullah.
Orang ramai boleh mencuba prototaip di isyaratkafe.netlify.app, manakala pengusaha kafe yang berminat menyertai program rintis boleh menghubungi Dr Muhammad Nur Hidayat di [email protected].