KUALA LUMPUR: Pelabur dijangka lebih berhati-hati pada minggu depan berikutan jangkaan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) akan diberikan tumpuan menjelang mesyuarat kedua Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi tahun ini yang dijadualkan pada 8 dan 9 Mac.

Kenanga Research dalam nota penyelidikan hari ini berkata bank pusat dijangka mengekalkan status quo itu.

"Sekiranya Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell menyampaikan mesej dengan kecenderungan menaikkan kadar faedah dan data pekerjaan AS terus berdaya tahan, ia mungkin membawa kepada satu lagi pusingan penetapan kadar faedah semula dalam hala tuju dasarnya, seterusnya memberi tekanan kepada aset berisiko," katanya.

AmBank Group dalam laporan penyelidikan ekonominya berkata, peningkatan OPR hanya akan berlaku pada suku kedua atau tempoh selepas itu, bergantung kepada panduan selanjutnya dan bagaimana data inflasi domestik berkembang dalam masa beberapa bulan akan datang.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng pula berpandangan BNM mungkin mengelakkan kenaikan OPR sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 21 dan 22 Mac.

Beliau berkata hasil daripada mesyuarat perundangan tahunan China akan turut dipantau dengan teliti sebagai petunjuk hala tuju dasar kerajaan dan prospek bagi ekonomi.

Sidang Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) bermula hari ini.

"Sehubungan itu, penilaian FBM KLCI kekal mendapat tarikan pada tahap semasa. Oleh itu, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran akan kekal tidak berubah dengan kecenderungan meningkat dalam jajaran 1,450-1,470 pada minggu depan," katanya kepada Bernama.

Pada minggu berkenaan, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China yang kukuh pada 52.6 sebahagiannya membantu merangsang ringgit dan Bursa Malaysia.

Indeks PMI pembuatan di negara itu menokok kepada 52.6 pada Februari iaitu bacaan tertinggi sejak April 2012 manakala PMI perkhidmatan Caixin/SP Global terus meningkat kepada 55 pada Februari berbanding 52.9 pada Januari. 

Di dalam negara, sektor pembuatan terus menguncup pada Februari pada kadar lebih rendah dengan mencatat PMI sebanyak 48.4 daripada 46.5 pada Januari.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI menyusut 3.25 mata untuk ditutup kepada 1,453.55 berbanding 1,456.80 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 38.01 mata kepada 10,588.43, Indeks FBMT 100 berkurangan 28.06 mata kepada 10,269.76 dan Indeks FBM Emas Shariah menguncup 116.55 mata kepada 10,814.04.

Indeks FBM 70 merosot 58.60 mata kepada 13,446.61 dan Indeks FBM ACE rendah 133.32 mata kepada 5,426.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 141.90 mata kepada 16,163.73, Indeks Perladangan meningkat 38.67 mata kepada 6,831, Indeks Tenaga merosot 19.11 mata kepada 871.73 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 2.01 mata kepada 177.65.

Jumlah dagangan mingguan menguncup kepada 16.13 bilion unit bernilai RM11.85 bilion berbanding 16.79 bilion unit bernilai RM10.89 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 11.19 bilion saham bernilai RM10.33 bilion daripada 10.35 bilion saham bernilai RM9.02 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.64 bilion unit bernilai RM295.43 juta daripada 1.90 bilion unit bernilai RM297.03 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 3.24 bilion saham bernilai RM1.21 bilion daripada 4.16 bilion saham bernilai RM1.56 bilion.

-- BERNAMA