KUALA LUMPUR: Sebuah Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (JPB 2022) ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan prestasi inisiatif-inisiatif di bawah Bajet 2022, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memberitahu, antara lain jawatankuasa itu juga akan mencadangkan penyelesaian, intervensi dan perubahan polisi yang sesuai bagi memastikan pelaksanaan sempurna Bajet 2022.

"Selain itu, JPB 2022 juga akan meneliti tahap keberhasilan inisiatif-inisiatif di bawah Bajet 2022 dan akan mempertimbangkan semula jumlah peruntukan bagi inisiatif-inisiatif yang berkaitan, jika perlu," katanya dalam kenyataan media di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, proses pemantauan juga akan melibatkan kerjasama rapat dengan kementerian dan agensi pelaksana bagi memastikan penyaluran manfaat Bajet 2022 dan penyampaian perkhidmatan awam yang efisien dan efektif.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, pakar-pakar industri dan subject matter experts akan dijemput menghadiri mesyuarat JPB 2022 untuk memberi maklum balas profesional, jika perlu.

"Kerajaan juga mengalu-alukan maklum balas daripada rakyat, sektor perniagaan dan masyarakat sivil mengenai pelaksanaan Bajet 2022," ujarnya lagi.

Maklum balas itu katanya boleh disalurkan menerusi talian hotline 03-8882466.

Dalam pada itu, berhubung isu banjir, Perdana Menteri memaklumkan sejumlah RM450 juta diperuntukkan bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti.

Sementara katanya, sebanyak RM10 bilion lagi diperuntukkan untuk penerbitan Sukuk Kelestarian bernilai bagi mencapai strategi pembangunan mampan negara

Beliau menegaskan, ia adalah selari dengan komitmen kerajaan dalam pelaksanaan agenda kelestarian dalam penyediaan bajet tahun ini.

"Kerajaan juga berharap agar semua segmen Keluarga Malaysia akan bekerjasama di dalam menjayakan pelaksanaan langkah-langkah Bajet 2022 bagi kesejahteraan kita bersama," ujarnya.

Pada Oktober lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' dan bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan, yang berjumlah RM332.1 bilion.

Ia meliputi belanja mengurus sebanyak RM223.5 bilion, RM75.6 bilion bagi belanja pembangunan, RM23 bilion untuk Kumpulan Wang COVID-19 dan RM2 bilion dikategorikan sebagai simpanan luar jangka.