Skip to main content

Bisnes

Jepun berhasrat perluas hubungan, pelaburan di Malaysia

61641368549_TBFLAGMSIAJEPUN.jpg
Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata berkata menekankan peluang pelaburan Jepun dalam sektor strategik seperti pendidikan, semikonduktor, teknologi hijau, pertahanan, dan industri makanan halal.

KUALA LUMPUR: Penglibatan Jepun dengan Malaysia bakal diperluas, terutamanya dalam bidang pelaburan susulan kemenangan besar Perdana Menteri Sanae Takaichi dalam pilihan raya minggu lepas.

Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata berkata dengan mandat yang kuat, Takaichi bersedia untuk memperkukuh hubungan dengan Malaysia dan ASEAN.

Advertisement

Beliau menekankan peluang pelaburan Jepun dalam sektor strategik seperti pendidikan, semikonduktor, teknologi hijau, pertahanan, dan industri makanan halal.

"Perdana Menteri Takaichi telah menekankan kepentingan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka serta dimensi ekonomi.

"Terdapat pelbagai peluang pelaburan oleh syarikat Jepun di Malaysia dalam konteks bidang seperti semikonduktor atau pelaburan hijau," katanya dalam taklimat media sempena resepsi Hari Kebangsaan Jepun semalam.

Shikata berkata Perdana Menteri itu juga memberi tumpuan kepada beberapa industri strategik dan isu-isu seperti keselamatan ekonomi serta  tenaga.

"Malaysia merupakan pembekal kedua terbesar gas asli cecair (LNG) ke Jepun selepas Australia. Namun, terdapat pelaburan baharu yang lain seperti penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), yang mana kedua-dua pemimpin berminat untuk menerokainya.

Malah, kerjasama loji janakuasa nuklear awam juga termasuk dalam pelan hala tuju peralihan tenaga Malaysia," katanya.

Shikata berkata banyak institusi kewangan Jepun turut melabur dalam perbankan Islam di Malaysia. Beliau menambah bahawa Jepun melihat Malaysia sebagai pintu masuk bagi sebahagian pelaburan ke rantau ini disebabkan hubungan perdagangan Malaysia yang kukuh dengan negara-negara lain.

Terdahulu dalam ucapannya, Duta itu berkata Jepun bertekad untuk memainkan peranan yang lebih luas bersama Malaysia dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau, terutamanya dalam keselamatan maritim.

"Melalui Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA), rangka kerja kerjasama baharu Jepun yang memberi manfaat kepada angkatan tentera, kami telah membekalkan Angkatan Tentera Malaysia dengan UAV (dron) dan bot penyelamat, serta akan membekalkan kapal sokongan penyelaman tidak lama lagi," katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa latihan ketenteraan dua hala antara Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun dan Tentera Laut Diraja Malaysia, serta kunjungan kapal peronda Pengawal Pantai Jepun ke pelabuhan, membuktikan kekuatan perkongsian keselamatan maritim kedua-dua negara.

Shikata juga mendedahkan bahawa Seminar Kerjasama Industri Jepun-Malaysia Baharu, yang bertujuan merancakkan semula pelaburan industri antara kedua-dua negara, akan diadakan pada 31 Mac ini.

Beliau berkata hubungan dua hala dalam bidang lain turut meningkat dengan ketara termasuk sektor makanan dan minuman, di mana Malaysia kini mempunyai 2,200 restoran Jepun - peningkatan sebanyak 16 peratus dalam tempoh dua tahun lepas.

Mengenai pendidikan, Shikata berkata terdapat lebih 2,600 pelajar Malaysia sedang menuntut di Jepun, manakala lebih 2,000 pelajar Jepun menuntut di Malaysia.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan pelajar Jepun yang belajar di Malaysia telah meningkat secara drastik, dan Malaysia menarik perhatian besar sebagai destinasi melanjutkan pengajian bagi ramai pelajar Jepun," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video