BACHOK: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan 177 kes kebakaran tahun lepas yang berpunca daripada isu elektrik ketika musim perayaan.
Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata peningkatan penggunaan perkakas elektrik berlebihan semasa perayaan dapat meningkatkan risiko berlakunya kebakaran.
Advertisement
"Sebanyak 1,400 kes kebakaran dicatatkan pada tahun lepas, namun sebahagian besar atau 642 kes daripadanya berpunca daripada masalah elektrik, dan daripada jumlah itu, sebanyak 177 kes berlaku ketika Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan dan Siap Siaga Raya 2026 JBPM Kelantan di Jelawat di sini, semalam.
Farhan Sufyan berkata JBPM Kelantan melakukan pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran terhadap 663 premis pada tahun lepas dan menyasarkan 700 premis tahun ini, khususnya di premis tumpuan ramai.
Sementara itu, beliau berkata berlaku penurunan jumlah kehilangan nyawa akibat lemas tahun lepas, iaitu 20 orang berbanding 23 orang pada 2024, namun angka itu masih pada tahap membimbangkan dan pihaknya mempergiatkan usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat, selain rondaan berkala di kawasan riadah.
"Perayaan Tahun Baharu Cina yang bersekali dengan cuti sekolah akan menyebabkan kawasan rekreasi menjadi tumpuan ramai, sekali gus meningkatkan risiko kejadian kemalangan di air, saranan kami ialah hadkan aktiviti di kawasan berisiko dan ambil langkah keselamatan kendiri secara serius," katanya.
-- BERNAMA