BUSINESS
Jepun-Malaysia perkukuh kerjasama inovasi makanan lestari menerusi Sustainable Food Camp 2025

Satoshi Umino berkata, melalui penyertaan itu, Malaysia dan Jepun turut memperkukuhkan komitmen terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030. - Foto SFA
KUALA LUMPUR: Jepun memperkukuh hubungan strategik dengan Malaysia dalam sektor makanan mampan menerusi penyertaan aktif dalam program Sustainable Food Asia (SFA) | Sustainable Food Camp 2025, sebuah inisiatif yang menjadi platform dinamik untuk menyatukan negara-negara Asia dalam usaha mencipta masa depan makanan global yang lebih lestari.
SFA yang berlangsung pada 22 April lalu di Genting Highlands itu menghimpunkan lebih 200 delegasi daripada 70 syarikat multinasional, syarikat pemula (start-up) dan inovator dari seluruh ASEAN, Jepun dan Amerika Syarikat itu adalah sebagai usaha bekerjasama dalam merangka penyelesaian inovatif terhadap cabaran keselamatan makanan dan perubahan iklim.
Ketua Pegawai Eksekutif Sustainable Food Asia (Jepun), Satoshi Umino berkata, melalui penyertaan itu, Malaysia dan Jepun bukan sahaja berkongsi kepakaran dalam bidang teknologi makanan, pertanian pintar dan inovasi makanan alternatif, malah turut memperkukuhkan komitmen terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030.
"Kerjasama ini dijangka membuka peluang luas kepada pemain industri makanan dari kedua-dua negara untuk meneroka pasaran baharu, mempercepatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta membangunkan teknologi makanan yang lebih hijau dan berdaya tahan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad. Menurut Satoshi, SFA yang dirasmikan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata itu dilihat sebagai landasan penting dalam mengukuhkan jaringan serantau, sekali gus meletakkan Asia sebagai peneraju utama dalam mencorakkan landskap makanan global masa depan.

Kata beliau, dengan bertemakan Future Foods: Innovating Today, Sustaining Tomorrow, program itu menjadi medan pertukaran idea kepada strategi yang boleh dilaksanakan berdasarkan tiga teras utama: Penambahbaikan Alam Sekitar, Akses Kesihatan dan Tanggungjawab Sosial.
Mengukuhkan nada tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Sustainable Food Camp Asia (Malaysia), Chiam Boon Lee memberitahu, pada tahun ini, mereka menubuhkan Sustainability Challenge Fund bernilai AS$10,000 (RM42,606) selain memeterai tiga MoU strategik bersama Genting Group, Zebrafish Capital (China) dan Hao-Shi Accelerator (Taiwan) , serta menampilkan rakan korporat seperti Ajinomoto, Kikkoman dan Rohto.
Kesemua langkah itu katanya memberi landasan pasaran nyata untuk inovasi alt-protein, bio-pembungkusan dan agri-tech tropika.
Sementara itu, pengasas Extractori, sebuah syarikat pemula dalam sektor kosmetik lestari, Charumathi Yogarajan menyifatkan program tersebut sebagai enjin kolaborasi rentas disiplin.
"Kami berbincang penciptaan inovasi sifar sisa dengan mengekstrak polifenol daripada hampas kopi untuk serum anti-penuaan sambil mengurangkan sisa tapak pelupusan dari industri kopi itu," jelasnya.
Menurutnya, penglibatan dalam acara itu membuka peluang kerjasama yang melangkaui sempadan.
"Sebagai peserta wanita dalam bidang teknologi makanan, saya melihat sendiri bagaimana acara ini membuka ruang untuk kolaborasi rentas sempadan. Kami bincangkan solusi, bukan sekadar masalah," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami