BISNES
Jiwa SME 2025: Lebih 3,000 meriahkan Ipoh, Pentagon Math juara ‘Pentas Jual’

Rashid Khairi dari Asas Ilmu (tiga, kiri) muncul pemenang Penyertaan Terbaik bagi sesi ‘Pentas Jual’ sempena Jelajah Jiwa SME 2025 di Ipoh, membawa pulang pakej promosi media bernilai sehingga RM55,600. - Foto Astro AWANI
IPOH: Jelajah Jiwa SME 2025 membuka tirai dengan sambutan menggalakkan apabila lokasi pertama tahun ini yang berlangsung di AEON Mall Kinta City, di sini, mencatat kehadiran lebih 3,000 pengunjung,
Program dua hari itu menampilkan 20 reruai usahawan dan agensi sokongan termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Bursa Malaysia.
Antara acara kemuncak program anjuran bersama Unifi Business dan Astro AWANI itu ialah pertandingan 'Pentas Jual', yang menyaksikan Asas Ilmu dinobatkan sebagai pemenang menerusi penyampaian produk pendidikan inovatif Pentagon Math.
Pegawai Pemasaran Asas Ilmu, Rashid Khairi berkata, penyertaan dalam platform seperti Jiwa SME membuka peluang kolaborasi dan memberi nilai tambah signifikan dalam strategi pemasaran dan pengurusan syarikat.“Pengalaman dua hari ini amat bermakna. Saya berpeluang berkolaborasi dengan pelbagai usahawan lain, di samping memperoleh input dan idea baharu dalam aspek pengurusan syarikat dan pemasaran,” katanya.

Tiga panel juri termasuk wakil Unifi Business menilai secara menyeluruh pembentangan peserta ‘Pentas Jual’ berdasarkan kriteria seperti inovasi, daya saing dan potensi pasaran.
Pentagon Math, yang dibangunkan dengan kerjasama pakar pendidikan berpengalaman lebih 17 tahun, memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah pembelajaran asas Matematik dalam kalangan pelajar sekolah rendah.
Produk ini didatangkan dengan modul yang sesuai untuk kanak-kanak seawal lima tahun, menggunakan pendekatan psikologi kognitif serta teknik pembelajaran menyeronokkan.
Malah, menurut Rashid, Asas Ilmu kini dalam perancangan untuk memperluas jangkauan produk ke pasaran serantau dan antarabangsa melalui penerbitan dan bengkel pendidikan berasaskan Pentagon Math.
“Kami percaya setiap usahawan perlu yakin dengan nilai produk masing-masing. Melalui platform seperti Jiwa SME, kami lebih bersemangat untuk bawa produk ini ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya lagi.
Sebagai pemenang Pentas Jual Jiwa SME 2025, Asas Ilmu turut menerima pakej media promosi bernilai sehingga RM55,600 di saluran Astro AWANI.
Selain Asas Ilmu, dua penyertaan lain turut menerima pengiktirafan sebagai penyertaan berpotensi iaitu Big Pos melalui wakilnya Nurhanna Mohamed dan Leo Batik yang diwakili Akim Tazudin.

Orang ramai yang datang turut disajikan dengan persembahan memukau oleh artis hebat tanah air yang dibawa Universal Music Malaysia.
Program itu turut memberi ruang kepada pengunjung berinteraksi secara langsung dengan vendor tempatan dalam pelbagai sektor seperti makanan, tekstil, teknologi, pendidikan dan kewangan, di samping menyertai sesi padanan perniagaan dan bengkel digitalisasi anjuran Unifi Business.
Jelajah Jiwa SME 2025 akan diteruskan ke empat lokasi lain iaitu di Sabah pada 26 dan 27 Julai ini dan seterusnya ke Kelantan, Melaka, serta kemuncaknya akan berlangsung di Selangor.
Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi seterusnya dan cara penyertaan, orang ramai boleh melayari www.jiwasme.com.my.

Antara tarikan lain adalah aktiviti interaktif dan gamifikasi di gerbang masuk utama, menarik penyertaan pengunjung pelbagai lapisan usia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami