Presiden Filipina Marcos kata kesihatan semakin baik, doktor berikan penilaian positif

Malacanang sebelum ini memaklumkan bahawa Marcos didiagnosis menghidap divertikulitis, iaitu keradangan pundi-pundi dalam kolon yang tidak mengancam nyawa. - Reuters
MANILA: Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keadaan kesihatannya semakin baik, dengan menyatakan doktor memberikan penilaian positif selepas beberapa hari berada di bawah pemerhatian perubatan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam vlog terbaharunya yang disiarkan pada Ahad, Marcos berkata keadaannya "tidak serius" dan beliau hanya memerlukan masa untuk memulihkan tenaga selepas diletakkan di bawah diet terkawal.
"Mengenai saya, saya sedang pulih. Doktor memberikan penilaian positif, tiada yang serius. Saya cuma perlu mendapatkan semula tenaga," kata Presiden itu.
Marcos berkongsi bahawa beliau kehilangan sedikit berat badan selepas dinasihatkan untuk mengambil makanan dan minuman dalam bentuk cecair selama beberapa hari, sambil berseloroh bahawa ia seolah-olah beliau sedang berdiet.
"Sekurang-kurangnya, saya rasa seperti sedang berdiet," katanya.
Malacanang sebelum ini memaklumkan bahawa Marcos didiagnosis menghidap divertikulitis, iaitu keradangan pundi-pundi dalam kolon yang tidak mengancam nyawa, selepas beliau dibawa ke hospital dan menghabiskan satu malam di bawah pemerhatian perubatan pada 21 Jan lalu.
Atas nasihat doktor, Presiden tidak menghadiri beberapa program awam di luar Malacanang namun terus menjalankan tugas, termasuk menyelesaikan urusan dokumen dan menghadiri mesyuarat.
Pegawai Istana berulang kali menegaskan bahawa Presiden kekal berupaya sepenuhnya melaksanakan tugasnya, sambil menafikan laporan yang tersebar mendakwa keadaan kesihatannya semakin merosot.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


