BISNES
Jiwa SME 2025: Unifi Business terus perkasa PMKS tempatan dengan strategi digital berimpak tinggi

(Dari kiri) Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail; Naib Presiden Unifi Business, Dr Mohamad Yusman Ammeran; Pengasas Gerakan OK OCE Indonesia, Sandiaga Uno bergambar bergambar di hadapan reruai Unifi Business pada Jiwa SME Ipoh 2025.
KUALA LUMPUR: Usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus diperkukuh Unifi Business menerusi penglibatan aktif dalam siri Jelajah Jiwa SME 2025 anjuran Astro AWANI, yang menyasarkan pendekatan lebih dekat dengan komuniti usahawan di seluruh negara.
Inisiatif ini membuka ruang perkongsian ilmu, penerapan teknologi serta sokongan digital secara langsung, sejajar dengan komitmen berterusan Unifi Business ke arah membina ekosistem keusahawanan yang mampan dan bersedia menembusi pasaran global.
Naib Presiden Unifi Business, Dr Mohamad Yusman Ammeran, berkata penyertaan pihaknya dalam Jelajah Jiwa SME tahun ini menekankan aspirasi untuk membantu PMKS ‘level up’ menerusi solusi digital yang praktikal dan relevan.
“Unifi Business menyertai Jelajah Jiwa SME ini kerana ia merupakan platform yang terbaik untuk perkongsian dan juga perbincangan mengenai penggunaan teknologi digital yang boleh membantu usahawan-usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk ‘level up’.“Oleh itu, kita terus bersama dengan Astro AWANI untuk berhubung dan berbincang dengan mereka agar mampu tingkatkan prestasi perniagaan secara menyeluruh,” katanya.
Antara solusi yang ditawarkan termasuk pakej Go Bookit, yang direka khas untuk usahawan dalam sektor perkhidmatan seperti juruteknik penyaman udara dan pendawai elektrik membolehkan mereka mengurus tempahan secara sistematik.
Turut ditawarkan ialah UNI5G Biz 99, pakej langganan internet dengan telefon pintar 5G percuma, termasuk model seperti Samsung A16 5G dan Redmi 13C 5G, bagi memastikan akses internet pantas dalam menjalankan operasi harian.

Yusman Ammeran (kanan) bersama Pemilik Cendol Kampung Hulu, Farizal Mustaffa ketika sesi perkongsian ‘Pentas Niaga’ bual bicara level up di pentas utama Jiwa SME Ipoh 2025. – Gambar Unifi Business
Salah satu pendekatan yang menarik perhatian peserta bagi Jiwa SME tahun ini ialah pengenalan NextUp Digital Game Plan, sebuah simulasi realiti perniagaan yang mencabar peserta membina pelan perniagaan berdasarkan bajet maya RM500,000.
Program ini juga menilai kebolehan peserta merangka strategi digital yang boleh memacu pertumbuhan atau transformasi syarikat mereka.
Sempena Bulan PMKS 2025, Unifi Business turut melancarkan program Impak Biz bagi membantu usahawan menilai dan menambah baik tahap kesediaan digital dalam empat aspek utama iaitu interaksi pelanggan, operasi, strategi digital dan penggunaan data.
“Sebagai penghargaan terhadap usahawan tempatan, kami juga menawarkan ganjaran eksklusif berupa Program Kepimpinan Keusahawanan selama seminggu di University of Oxford, London, kepada pelanggan Unifi Business yang menyertai kempen digital #BelanjaDiSME dan #SapotLokal,” jelas Yusman.
Program ini dibiayai sepenuhnya oleh Unifi Business sebagai motivasi kepada PMKS untuk menyertai ekonomi digital secara lebih aktif dan inovatif.

Wakil Unifi Business memberi penerangan tentang pakej digital dan solusi teknologi perniagaan di reruai Unifi Business. - Gambar Unifi Business
Penyertaan Unifi Business dalam Jelajah Jiwa SME 2025 bukan sekadar simbol sokongan, sebaliknya manifestasi nyata usaha berterusan mereka membina asas kukuh bagi pertumbuhan PMKS seiring aspirasi negara untuk memperkasa ekonomi digital secara inklusif dan berdaya saing.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami