SYDNEY: Rangkaian gedung serbaneka tertua Australia, David Jones memasuki proses pentadbiran sukarela selepas berdepan tekanan kewangan berpanjangan, sekali gus meletakkan ribuan pekerjaan dalam keadaan tidak menentu.
Peruncit berusia 188 tahun yang lebih dikenali sebagai DJs dalam kalangan rakyat Australia itu bergelut selama bertahun-tahun apabila semakin ramai pengguna beralih kepada platform beli-belah dalam talian, meninggalkan model perniagaan tradisional berasaskan kedai fizikal.
Walaupun berdepan proses pentadbiran dan penerimaan aset, operasi kedai fizikal serta platform dalam taliannya akan terus berjalan sementara firma pengurusan dan penstrukturan semula korporat FTI Consulting menilai kedudukan syarikat itu, menurut pentadbir sukarela McGrathNicol.
Ketua Pegawai Eksekutif David Jones, Erica Berthold berkata, jenama ikonik itu masih mempunyai pelan yang jelas untuk memulihkan kedudukannya dan menyesuaikan operasi bagi menghadapi cabaran masa depan.
“David Jones merupakan sebuah syarikat ikonik dan ramai rakyat Australia mempunyai kisah serta kenangan mengunjungi gedungnya.
“Kami mempunyai pelan yang matang untuk menetapkan semula hala tuju perniagaan bagi masa depan,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada pelanggan, kakitangan dan rakan niaga yang terus menyokong syarikat itu.
David Jones kini mempunyai kira-kira 6,000 pekerja dan mengendalikan 38 cawangan di seluruh Australia, termasuk 17 premis yang terletak dalam pusat beli-belah Westfield.
Beberapa jam sebelum lembaga pengarah memutuskan untuk memasuki pentadbiran sukarela, syarikat pengendali pusat beli-belah Westfield, Scentre Group, memaklumkan David Jones gagal menjelaskan bayaran sewa bagi bulan Oktober, sekali gus melanggar syarat perjanjian penyewaan.
Wakil FTI Consulting, Christopher Hill berkata, tekanan kos operasi yang meningkat, rangkaian kedai fizikal yang besar dan usang serta cabaran rantaian bekalan menjadi antara faktor utama yang membawa syarikat itu ke tahap kritikal.
Menurutnya, pelantikan pentadbir dan penerima aset akan memberi ruang kepada David Jones untuk menstruktur semula operasi serta memperkukuhkan kedudukan kewangannya.
Bagi ramai rakyat Australia, David Jones yang sinonim dengan corak hitam putih "houndstooth" selama ini dianggap simbol kemewahan dan gaya hidup premium.
Pensyarah pemasaran di Sekolah Perniagaan Universiti Macquarie, Jana Bowden menyifatkan kejatuhan syarikat itu sebagai petanda berakhirnya era gedung serbaneka tradisional di Australia.
“Ia pernah menjadi lambang kemewahan membeli-belah di Australia, seumpama versi tempatan gedung terkenal Harrods di United Kingdom.
“Orang ramai datang bukan sekadar membeli-belah tetapi untuk merasai suasana glamor dan mengagumi jenama-jenama mewah yang ditawarkan,” katanya.
Lawatan ke cawangan utama David Jones di Sydney dan Melbourne juga pernah menjadi tradisi keluarga, khususnya bagi menyaksikan hiasan tingkap sempena sambutan Krismas setiap tahun.
“Ramai sanggup memandu berjam-jam hanya untuk melihat paparan tingkap itu dan menikmati suasana perayaan yang istimewa,” katanya.
Namun, menurut Bowden, jenama berkenaan mula kehilangan daya tarikannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Cawangan utama di pusat bandar masih mengekalkan imej eksklusif, tetapi kebanyakan cawangan di kawasan pinggir bandar dilihat biasa-biasa sahaja, kurang tarikan dan tidak lagi menawarkan pengalaman yang istimewa,” ujarnya.
David Jones turut mempunyai nilai sejarah tersendiri apabila Ratu Elizabeth II menghadiri satu majlis santapan rasmi di tingkat tujuh cawangan Elizabeth Street di Sydney ketika lawatan pertamanya ke bandar itu pada 1954.
Kejatuhan jenama berusia hampir dua abad itu dilihat mencerminkan perubahan besar dalam landskap peruncitan Australia yang semakin dipacu oleh perdagangan digital dan perubahan tingkah laku pengguna. - Agensi