Skip to main content

Bisnes

Jiwa SME Terengganu 2026 lonjak potensi ekonomi kreatif, kraftangan

JIWA SME TERENGGANU NEW TB
Dari kiri, Norashikin Abd Latif, Datuk Ariffin Deraman dan Zaiful Ariffin bergambar selepas perasmian Jelajah Jiwa SME Terengganu 2026 di Mayang Mall, Kuala Terengganu.
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Jelajah Jiwa SME Terengganu 2026 mengetengahkan pendigitalan dan penjenamaan sebagai pemangkin untuk membawa produk kraftangan serta industri kreatif negeri itu ke pasaran lebih luas.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, kekuatan warisan tempatan perlu diterjemahkan kepada peluang perniagaan dan sumber pendapatan yang berdaya maju, khususnya untuk generasi muda.

“Kita mahu melihat lebih banyak produk daripada Terengganu, bukan sahaja dikenali oleh rakyat negeri ini, bukan sahaja berada di pasaran Malaysia tetapi mempunyai keupayaan untuk pergi lebih jauh.

“Dari Terengganu biar satu dunia kenal,” katanya ketika merasmikan jelajah itu di Mayang Mall di sini pada Jumaat.

Bertemakan “Ekonomi Kreatif dan Kraftangan”, program pada 11 dan 12 September itu merupakan penganjuran pertama Jiwa SME di Terengganu oleh Astro AWANI dengan Unifi Business sebagai penaja utama.

Ariffin berkata, bidang kreatif tidak seharusnya dilihat sekadar minat atau hobi, sebaliknya perlu dikembangkan sebagai kerjaya dan perniagaan yang mampu diwarisi generasi baharu.

Menurutnya, usahawan perlu meningkatkan kualiti, menambah nilai serta menghasilkan pembaharuan yang menepati cita rasa semasa tanpa menghilangkan identiti asal produk.

“Kreativiti boleh menjadi jambatan di antara warisan dengan pasaran moden.

“Dengan sokongan yang betul, produk kraftangan tempatan boleh mempunyai nilai komersial yang lebih tinggi dan mampu menarik perhatian bukan sahaja pengguna tempatan tetapi juga kepada pengguna luar,” katanya.

Beliau turut mempelawa usahawan memanfaatkan kemudahan studio TikTok di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bagi memperkukuh promosi dan pemasaran produk.

Image
JIWA SME TERENGGANU INSERT
Sekitar sesi lawatan reruai usahawan selepas majlis pelancaran.

Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Ariffin berkata, usahawan tempatan mempunyai peranan penting dalam memastikan warisan seperti batik, songket, anyaman dan ukiran terus berkembang seiring perubahan pasaran.

“Usahawan Terengganu bukan sekadar sebagai peniaga, tetapi anda semua adalah penjaga warisan.

“Tetapi pada masa yang sama, anda juga adalah pencipta masa depan,” katanya.

Menurut Zaiful, produk berkualiti perlu disokong kemahiran digital serta keupayaan menceritakan keunikan dan nilai di sebaliknya bagi menarik perhatian pelanggan.

“Kita memerlukan akses. Kita memerlukan teknologi. Kita memerlukan capaian internet. Kita memerlukan kemahiran digital dan juga keberanian untuk kita berubah,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama Astro AWANI dengan Unifi Business menggabungkan kekuatan penceritaan media dan keupayaan digital bagi membantu usahawan memperkenalkan produk kepada khalayak lebih luas.

Katanya, penyertaan dalam Jiwa SME juga perlu dimanfaatkan untuk membina jaringan dan meneroka kerjasama, bukan hanya menjalankan jualan sepanjang acara.

Image
JIWA SME TERENGGANU insert
Pelbagai produk kraftangan, batik dan hasil kreativiti usahawan tempatan dipamerkan pada Jelajah Jiwa SME Terengganu 2026 di Mayang Mall, Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Ketua Unifi Business Negeri Terengganu, Norashikin Abd Latif berkata, platform digital membuka peluang kepada usahawan memperkenalkan produk dan menarik pelanggan melangkaui lokasi fizikal perniagaan.

“Satu video boleh memperkenalkan satu jenama. Satu kandungan boleh membawa pelanggan datang,” katanya.

Menurutnya, pendigitalan relevan kepada semua peringkat perniagaan, sama ada usahawan yang baru bermula, sudah bertapak atau sedang merancang pengembangan.

Beliau berkata, Unifi Business mahu menjadi rakan digital usahawan dengan menyokong kesalinghubungan, pertumbuhan serta perlindungan perniagaan mereka.

Norashikin turut menggalakkan peserta memanfaatkan jelajah itu untuk berkongsi pengalaman dan meneroka kerjasama dengan usahawan serta pembekal lain.

Pengisian jelajah turut merangkumi Pentas Jual dan CIPTA, selain sesi podcast, bengkel, demonstrasi kraftangan, pameran jualan usahawan tempatan serta pelbagai aktiviti interaktif.

Program itu terbuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 9.30 malam sepanjang dua hari penganjuran, dengan maklumat lanjut tersedia di laman rasmi Jiwa SME.

Must Watch Video

Advertisement