KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju supaya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) melancarkan manifesto bersama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini.
Keputusan itu bertujuan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta meneruskan kecemerlangan perkhidmatan dan pembangunan negeri Melaka.
Mesyuarat itu turut bersetuju mengesahkan kerjasama politik dengan Pas dan PN bagi menghadapi PRN Melaka.
Mengulas keputusan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, BN dan PN akan menggunakan satu manifesto bersama dan bukannya manifesto berasingan.
“Manifesto itu satu sahaja. Tidak ada lagi seperti sebelum ini. Manifesto, semua bersama-sama. Itu yang telah diputuskan,” katanya.
Beliau berkata, pelancaran manifesto itu dijangka berlangsung pada sebelah petang selepas hari penamaan calon, dengan sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian.
Sehubungan itu, MKT UMNO mengarahkan seluruh jentera dan penyokong parti supaya memberikan sokongan padu kepada semua calon PN yang bertanding pada PRN berkenaan.
MKT UMNO turut menyeru pimpinan dan jentera parti supaya berkempen secara berhemah dan berakhlak, tanpa terjebak dalam perbuatan memfitnah, mengeji atau memaki hamun parti lawan.
PRN Melaka ke-16 dijadualkan berlangsung pada 14 November, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.