KULAI: Projek berimpak tinggi, Nexus Sedenak bakal menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi daerah ini, selain sebagai antara hab industri dan logistik baharu di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata pembangunan di kawasan itu tidak seharusnya terhad kepada pusat data semata-mata, sebaliknya disokong oleh program flagship Nexus Sedenak yang dirancang secara lebih komprehensif.
“Ia juga disebut dalam Belanjawan 2027 apabila Nexus Sedenak dijangka membawa potensi pelaburan sebanyak RM12 bilion dan membuka sebanyak 45,000 peluang pekerjaan,” katanya dalam sesi temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata pelaburan berimpak tinggi itu dijangka dapat meningkatkan kualiti hidup dan taraf pendapatan penduduk setempat.
Menurut beliau, projek pembangunan Nexus Sedenak itu turut merangkumi perancangan bagi membangunkan kemudahan pelabuhan darat.
“Di bawah Nexus Sedenak, mereka ada perancangan untuk membangunkan projek sebagai pelabuhan darat. Ini akan memberi peluang yang lebih besar kepada industri logistik khususnya di Kulai,” katanya.
Teo berkata kewujudan pelabuhan darat dan potensi zon perindustrian baharu itu bakal menarik lebih banyak kilang dan merancakkan rantaian industri tempatan.
Dalam pada itu, katanya pengurusan infrastruktur asas wajar diberi perhatian berikutan kepesatan pembangunan perindustrian di kawasan tersebut.
“Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita memastikan bahawa aspek bekalan elektrik dan air dijaga dengan baik supaya kehidupan penduduk setempat di sini tidak terjejas,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober lepas mengumumkan bahawa Nexus Sedenak bakal menjadi kutub baharu industri di utara JS-SEZ, disokong oleh penaiktarafan jalan dari persimpangan Sedenak serta rangkaian logistik serantau.
Anwar berkata JS-SEZ merekodkan pelaburan bernilai RM132 bilion bagi tempoh 2025 hingga Jun 2026.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor Natazha Hariss berkata lima sektor utama telah dikenal pasti bagi pembangunan Nexus Sedenak merangkumi pembuatan termaju, logistik bersepadu, teknologi pertanian dan makanan, teknologi hijau dan industri farmaseutikal.
Nexus Sedenak dibangunkan sebagai ekosistem ekonomi generasi baharu yang menggabungkan komponen perindustrian, logistik, komersial, kediaman dan gaya hidup dalam satu pembangunan yang saling melengkapi.
Pembangunan bersepadu di tapak seluas 2,940 ekar itu bakal mentransformasikan Ladang Air Manis di Sedenak sebagai sebuah ekosistem perindustrian, logistik dan pelaburan bertaraf serantau bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Johor dan memperkukuh hubungan perdagangan rentas sempadan.
-- BERNAMA