Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Sentimen Melayu-Islam kekal tebal, naratif 'poket rakyat' elemen pengimbang - Penganalisis

Menurut Mujibu, peluang terbaik parti untuk menangkis sentimen identiti adalah dengan mengalihkan gelanggang perdebatan daripada retorik kaum dan agama kepada isu ‘periuk nasi’ rakyat. - Gambar fail/Bernama
Menurut Mujibu, peluang terbaik parti untuk menangkis sentimen identiti adalah dengan mengalihkan gelanggang perdebatan daripada retorik kaum dan agama kepada isu ‘periuk nasi’ rakyat. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sentimen Melayu-Islam dilihat kekal sebagai arus dominan yang mencorak pemikiran sebahagian besar pengundi menjelang hari kemuncak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November.

Felo Penyelidik di ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis berkata, naratif penyatuan tersebut diperhatikan terus memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pas untuk mengukuhkan penguasaan di negeri Hang Tuah itu.

“Dalam aspek ini, saya masih melihat sentimen Melayu-Islam itu tetap tinggi di Melaka, penyatuan undi itu barangkali akan menjadi kelebihan kepada BN dan Pas.

Advertisement

"Mereka berdiri atas naratif bahawa mereka adalah kerajaan yang ketika ini mentadbir negeri dan pada masa sama menawarkan penyatuan Melayu sebagai satu tuntutan. 

"Ini satu pendekatan populis yang mampu menggabungkan undi orang Melayu,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Advertisement

Bagaimanapun ujarnya, benteng sentimen identiti itu tidak mustahil untuk ditembusi parti pesaing seperti Pakatan Harapan (PH) mahupun calon bebas.

Menurut Mujibu, peluang terbaik parti lawan untuk menangkis naratif berkenaan adalah dengan mengalihkan gelanggang perdebatan daripada retorik kaum dan agama kepada isu ‘periuk nasi’ rakyat.

Jelasnya, pengundi hari ini semakin mendambakan penyelesaian konkrit terhadap masalah kos sara hidup, peluang pekerjaan, isu perumahan, pengurusan banjir serta kelemahan infrastruktur setempat.

“Parti-parti politik barangkali perlu kembali kepada isu-isu setempat kerana ia adalah permasalahan yang nyata kepada setiap penduduk, isu praktikal yang memerlukan penyelesaian secara tuntas,” tegasnya.

Seterusnya kata Mujibu, sokongan blok pengundi atas pagar dan golongan muda juga wajar direbut, berikutan saiz kelompok mereka yang signifikan serta tidak terikat tegar kepada sentimen perkauman lama.

Jelasnya lagi, kumpulan pengundi itu lazimnya lebih mengutamakan kredibiliti calon, tadbir urus telus serta hala tuju masa depan negeri yang ditawarkan menerusi manifesto.

"Parti dituntut menterjemahkan tawaran ekonomi mereka ke dalam bahasa yang paling ringkas dan mudah dihadam melalui kempen media sosial.

"Selain itu, sentuhan peribadi melalui pertemuan kelompok kecil secara konsisten amat penting untuk membina hubungan emosi dan membolehkan calon menjawab terus kegusaran rakyat," ujarnya.

Must Watch Video

Advertisement