BUSINESS
JS-SEZ: Pelabur setuju gaji premium bermula RM3,500 - Onn Hafiz

Menurut Onn Hafiz, majoriti pelabur yang memilih untuk melabur di Johor menyatakan persetujuan terhadap hasrat ini. - Gambar fail/Bernama
ISKANDAR PUTERI: Pelabur asing di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menyatakan persetujuan untuk menawarkan gaji premium bermula RM3,500 kepada tenaga kerja tempatan.
Ringkasan AI
- 1, Gaji premium bagi tenaga kerja tempatan: Pelabur asing di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bersetuju menawarkan gaji minimum RM3,500 kepada pemegang diploma.
- Syarat utama pelabur: Pelabur menekankan dua syarat utama iaitu produktiviti tenaga kerja dan kemahiran teknikal seiring dengan kadar gaji yang ditawarkan.
- Pelaburan besar ke Johor: Sebuah syarikat dari China telah melabur RM500 juta dalam fasa pertama di Johor, dengan jumlah pelaburan dijangka meningkat sehingga RM3 bilion dalam beberapa fasa seterusnya.
"Alhamdulillah, saya ingin maklumkan bahawa majoriti pelabur yang memilih untuk melabur di Johor menyatakan persetujuan terhadap hasrat ini," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zulkarnain Kamisan (BN-Sri Medan) mengenai syarat ditetapkan kerajaan negeri kepada pelabur luar berkaitan pengambilan pekerja tempatan dan penetapan tangga gaji setara atau hampir setara dengan Singapura.
Bagaimanapun Onn Hafiz berkata pelabur menetapkan dua syarat utama iaitu produktiviti tenaga kerja dan kemahiran teknikal seiring dengan kadar gaji ditawarkan.
Berhubung pengambilan pekerja tempatan, beliau berkata di peringkat Persekutuan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menetapkan syarat komposisi tenaga kerja terdiri daripada 80 peratus pekerja tempatan dan 20 peratus pekerja asing dalam sektor pembuatan.
Selain itu Onn Hafiz memaklumkan pada pertemuannya dengan wakil sebuah syarikat dari China semalam, beliau dimaklumkan bahawa syarikat itu telah melabur RM500 juta di Johor bagi fasa pertama dengan pelaburan tersebut dijangka mencecah sehingga RM3 bilion dalam beberapa fasa seterusnya.
"Ini merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan ekonomi Johor turut memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutamanya dari segi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak tempatan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami