Pembunuh bersiri Britain mengaku bunuh remaja pada 1999 sebelum bunuh lima wanita pada 2006

Semasa prosiding mahkamah, Wright, yang turut dikenali media Britain sebagai Suffolk Strangler, mengaku menculik dan membunuh Hall, menurut kenyataan pihak pendakwaan. - Foto REUTERS
LONDON: Pembunuh bersiri Britain Steve Wright pada Isnin mengaku bersalah atas penculikan dan pembunuhan remaja berusia 17 tahun, Victoria Hall, pada 1999, beberapa tahun sebelum membunuh lima wanita lain, lapor Anadolu Ajansi.
Semasa prosiding mahkamah, Wright, 67, yang turut dikenali media Britain sebagai Suffolk Strangler, mengaku menculik dan membunuh Hall, menurut kenyataan pihak pendakwaan.
Beliau juga mengaku bersalah atas cubaan menculik Emily Doherty, ketika itu berusia 22 tahun, pada malam sebelum Hall dilaporkan hilang.
Menurut BBC, Hall, seorang pelajar peringkat A, dilaporkan hilang selepas keluar bersiar-siar pada waktu malam di Felixstowe, Suffolk.
Mayatnya ditemui tanpa pakaian di dalam parit lima hari kemudian, kira-kira 32 kilometer dari lokasi terakhir beliau dilihat.
"Keputusan ini akhirnya memberikan keadilan kepada Victoria Hall selepas 26 tahun," kata pendakwa raya yang mengetuai kes itu, Samantha Woolley, dalam kenyataan.
Wright sebelum ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2008 kerana membunuh lima wanita pada 2006.
Pengakuan bersalah terbaharu itu melibatkan kes berasingan iaitu pembunuhan Victoria Hall pada 1999, yang berlaku beberapa tahun sebelum pembunuhan lima wanita tersebut. Mahkamah dijangka menjatuhkan hukuman bagi kes berasingan itu pada Jumaat.
Menurut BBC, ini merupakan kali pertama Wright mengaku dirinya sebagai pembunuh.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


