Kesesakan lalu lintas menyebabkan Hanoi rugi AS$1.2 bilion setahun

Hanoi kini mempunyai lebih 9.2 juta kenderaan, dengan motosikal merangkumi lebih 72 peratus daripadanya. - Gambar hiasan/REUTERS
HANOI: Hanoi sedang menghadapi masalah kesesakan lalu lintas bandar yang semakin meruncing memandangkan pertumbuhan pesat kenderaan persendirian, digabungkan dengan aliran masuk yang tinggi dari wilayah jiran, telah membebani infrastruktur dan secara langsung menyekat pembangunan sosioekonomi ibu kota itu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Menurut Jabatan Pembinaan Hanoi, populasi bandar itu telah mencecah 8.7 juta orang, dengan kadar pertumbuhan mekanikal tahunan yang tinggi sebanyak 1.96 peratus. Namun begitu, infrastruktur pengangkutan masih jauh ketinggalan berbanding permintaan.
Rangkaian jalan raya hanya mencapai lebih sedikit 43 peratus daripada kapasiti yang dirancang, manakala tanah untuk pengangkutan hanya berkembang sebanyak 0.3-0.35 peratus setahun, berbanding pertumbuhan kenderaan persendirian tahunan sebanyak 4-5 peratus dan pertumbuhan kereta yang melebihi 11 peratus.
Hanoi kini mempunyai lebih 9.2 juta kenderaan, dengan motosikal merangkumi lebih 72 peratus daripadanya.
Tekanan lalu lintas memuncak secara mendadak semasa waktu sesak, apabila 27 peratus daripada perjalanan harian tertumpu dalam dua jendela waktu satu jam, iaitu 7.30-8.30 pagi dan 5.30-6.30 petang.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan kira-kira 1.45 juta perjalanan yang memasuki bandar itu setiap hari dari wilayah sekeliling, sekali gus membebani pintu masuk utama dan jalan lingkaran yang masih belum dibangunkan sepenuhnya.
Timbalan Pengarah Jabatan Pembinaan Dao Viet Long berkata kesesakan lalu lintas bukan lagi sekadar masalah mobiliti tetapi telah menjadi penghalang langsung kepada pembangunan sosioekonomi.
Beliau berkata kesesakan itu dianggarkan merugikan Hanoi kira-kira AS$1.2 bilion setiap tahun dan telah mendorong kos logistik kepada hampir 17 peratus daripada KDNK, selain menjejaskan produktiviti, kualiti alam sekitar dan daya tarikan pelaburan bandar berkenaan.
Pengangkutan awam bergelut untuk menarik pengguna, sebahagian besarnya disebabkan oleh tahap kebolehpercayaan yang rendah dan sambungan yang lemah. Masa perjalanan bas boleh menjadi lebih dua kali ganda berbanding motosikal bagi laluan yang sama, manakala ramai penumpang terpaksa berjalan kaki lebih 500 meter untuk sampai ke perhentian bas.
Walaupun lebih 70 peratus perjalanan di dalam bandar adalah di bawah enam kilometer, iaitu jarak yang sangat sesuai untuk pengangkutan awam atau pengangkutan bukan bermotor, motosikal tetap menjadi pilihan utama kerana faktor kemudahan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


