KUALA LUMPUR: Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia sekali lagi mencecah jualan tertinggi dalam rekod pada November 2021 mencatatkan RM118.1 bilion, peningkatan 7% tahun ke tahun (yoy), mengatasi paras yang dicapai bulan lalu sebanyak RM116.2 bilion.

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan dalam perdagangan borong dan runcit itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 6.8% atau RM3.6 bilion kepada RM56.3 bilion pada November 2021.

Perdagangan runcit juga berkembang 6.7 peratus atau RM3.0 bilion kepada RM47.8 bilion.

Dalam tempoh yang sama katanya, kenderaan bermotor meningkat 8.6% atau RM1.1 bilion kepada RM13.9 bilion," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, bagi perbandingan dengan bulan sebelumnya, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 1.6%, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi termasuk perjalanan rentas negeri bermula 11 Oktober 2021.

Sementara itu pertumbuhan subsektor perdagangan borong adalah sebanyak 6.8% pada November 2021 disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat 7.6% atau RM1.6 bilion kepada RM22.1 bilion.

"Ini diikuti oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau dengan 11.2% untuk merekodkan RM11.4 bilion," katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, beliau berkata, kenaikan 6.7% peratus itu disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan peningkatan 9.9% atau RM1.6 bilion kepada RM17.7 bilion.

Sementara itu, kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit bahan api kenderaan (18.2%), jualan runcit barangan isi rumah (6.4%), jualan runcit makanan.

Produk minuman dan tembakau mencatat 9.1%, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (28.4%), jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi 4.5%, jualan runcit kelengkapan informasi dan komunikasi (0.8%), dan jualan runcit di gerai dan pasar (11.6 $).

"Bagaimanapun, jualan runcit di kedai khusus kekal negatif untuk bulan keenam berturut-turut untuk mencatatkan -1.0%," katanya.

*Berita asal di DagangNews.com