KUALA LUMPUR: Jumlah bekalan tenaga primer meningkat sebanyak 2.8 peratus pada tahun 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood berkata, jumlah bekalan tenaga primer yang didaftarkan sebanyak 98,609 kilo tan minyak setara (ktoe) dan semua bahan api mencatatkan peningkatan kecuali arang batu.

Menurutnya, arang batu menunjukkan pertumbuhan negatif sebanyak 5.5 peratus berikutan import galian itu yang rendah pada 2019 berbanding tahun sebelumnya terutama di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, gas asli mempunyai bahagian terbesar sebanyak 42 peratus, diikuti minyak mentah, produk petroleum dan lain-lain (33.3 peratus), arang batu dan kok (21.4 peratus), manakala tenaga boleh diperbaharui (3.4 peratus).

"Bekalan tenaga primer meningkat kepada 98,609 ktoe, menyaksikan peningkatan 2.8 peratus berbanding tahun lalu, tahun lalu yang saya maksudkan merujuk kepada tahun 2018," katanya pada  sesi taklimat bersama media mengenai imbangan tenaga nasional (NEB) 2019, pada Isnin.

NEB meliputi tiga bidang utama iaitu bekalan tenaga, transformasi tenaga dan penggunaan tenaga untuk semua jenis bahan api termasuk gas asli, minyak mentah, petroleum, arang batu dan kok, elektrik dan tenaga boleh diperbaharui.

Dalam pada itu, Abdul Razib menjelaskan, bukan semua tenaga primer boleh digunakan secara langsung dalam bentuk bahan mentah kerana ada yang terpaksa menjalani penukaran atau proses transformasi untuk menukar kepada tenaga sekunder yang boleh digunakan dalam sistem tenaga.

“Misalnya, minyak mentah dalam bentuk tenaga utamanya tidak boleh digunakan. Ia mesti ditapis di loji penapisan untuk menukarnya kepada bahan api yang boleh digunakan seperti petrol dan diesel yang mana kebanyakannya digunakan dalam kenderaan," ujarnya.