Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan apabila Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka campur tangan untuk menstabilkan pasaran wang tempatan.

Bank Pusat itu diramal terus campur tangan dengan tender harian untuk menyerap lebihan dana dalam pasaran, kata peniaga.

Untuk minggu baru berakhir, BNM campur tangan setiap hari untuk mengurangkan lebihan dana daripada sistem dengan menjalankan tender konvensional, Qard, repo, lelongan matang dan program Murabahah komoditi.

Pada Jumaat, tindakan Bank Pusat itu telah membantu mengurangkan lebihan kecairan di pasaran kepada RM28.93 bilion dalam sistem konvensional dan RM6.86 bilion dalam dana Islam.

Kadar dasar semalaman kekal pada 3.25 peratus manakala kadar rujukan Islam semalaman berada pada 3.21 peratus dan kadar satu, dua dan tiga minggu masing-masing berada pada 3.28 peratus, 3.32 peratus dan 3.36 peratus.

Sementara itu, penanda aras kadar antara bank tiga bulan berada pada 3.74 peratus.