KUALA SELANGOR: Kadar pertukaran ringgit adalah bergantung kepada asas ekonomi negara dan turut dipengaruhi oleh kadar faedah di Amerika Syarikat (AS).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata susulan pengumuman Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Rabu yang menaikkan kadar pinjaman penanda aras sebanyak 0.75 mata peratusan telah meningkatkan kadar pinjaman negara itu kepada 4.0 peratus berbanding Malaysia yang kini berada pada paras 2.5 peratus.

"Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah keputusan bebas yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia dan semalam umum tahu bahawa Fed telah menaikkan kadar mereka sebanyak 0.75 mata peratusan. Oleh itu, kadar mereka telah naik kepada 4.0 peratus berbanding Malaysia pada 2.5 peratus.

"Justeru, kadar ringgit dan semuanya ini akan bergantung kepada asas ekonomi dan kadar faedah yang berlaku di Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia Kuala Selangor 2022 di sini hari ini.

Media melaporkan pelabur sedang menunggu keputusan mengenai kadar faedah Malaysia yang akan diumumkan lewat hari ini. Kadar faedah dijangka dinaikkan daripada 2.5 peratus kepada 2.75 peratus.

Dalam perkara lain, Tengku Zafrul yang juga calon Barisan Nasional di kerusi Parlimen Kuala Selangor turut menjawab berhubung dakwaan bahawa beliau merupakan 'calon kayangan' dan mempersoalkan keupayaannya untuk memahami denyut nadi penduduk di kawasan itu.

"Satu sahaja komen saya, bacalah Bajet 2020, 2021 dan 2022. Lihatlah apa yang kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan telah lakukan. Baca juga ucapan kita untuk Bajet 2023 yang menunjukkan keprihatinan kita kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA