Skip to main content

Malaysia

AirBorneo boleh mohon kendali tiga laluan utama di Sarawak secara komersial - MOT

KUCHING, 2 Jan -- Pesawat AirBorneo DHC6-400 sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini.  AirBorneo dengan bangganya mengumumkan pelancaran berjaya penerbangan sulungnya dengan menggunakan corak dan identiti pesawat sendiri, menandakan satu pencapaian penting susulan pengambilalihan MASwings yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.  Penerbangan tersebut adalah dari Kuching ke Mukah menggunakan pesawat ATR72-500 dan dari Kuching ke Tanjung Manis menggunakan pesawat DHC6-400.  Penerba
MOT memaklumkan langkah itu susulan pengambilalihan MASwings oleh Kerajaan Negeri Sarawak menerusi AirBorneo yang berkuat kuasa mulai 1 Jan lepas. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: AirBorneo boleh mengemukakan permohonan untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan bagi laluan Kuching–Sibu, Kuching–Miri dan Kuching–Bintulu secara komersial memandangkan laluan berkenaan tidak dikategorikan sebagai Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu susulan pengambilalihan MASwings oleh Kerajaan Negeri Sarawak menerusi AirBorneo yang berkuat kuasa mulai 1 Jan lepas.

Menurut MOT, laluan seperti Kuching–Sibu dan Kuching–Miri merupakan penerbangan antara bandar dan tidak memenuhi kategori perkhidmatan luar bandar, sekali gus tidak wajar menerima subsidi kerajaan.

"Justeru, penerbangan laluan-laluan tersebut tidak wajar menerima subsidi kerana ia melibatkan dua bandar seperti mana-mana penerbangan antara bandar di Semenanjung," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan isu yang dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri Sarawak berhubung ketiadaan perkhidmatan penerbangan AirBorneo bagi laluan Kuching–Sibu, Kuching-Miri dan Kuching-Bintulu yang didakwa berkait dengan perjanjian dimeterai Kerajaan Persekutuan pada 2019.

MOT menjelaskan berdasarkan semakan semula RAS oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 2017, laluan berkenaan tidak lagi memenuhi definisi obligasi perkhidmatan awam (PSO) memandangkan laluan tersebut turut dioperasikan secara bersama oleh MASwings dengan AirAsia, Malaysia Airlines Bhd (MAB) atau kedua-duanya.

"Perubahan status laluan-laluan tersebut sebagai laluan komersial akan lebih menggalakkan penglibatan syarikat penerbangan tempatan untuk beroperasi dan seterusnya memberi pengguna penerbangan di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak lebih banyak pilihan penerbangan," menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, perubahan status laluan berkenaan kepada laluan komersial bertujuan menggalakkan lebih banyak penglibatan syarikat penerbangan tempatan dan memberi pengguna lebih banyak pilihan penerbangan.

MOT memaklumkan pada masa ini, AirAsia mengendalikan laluan Kuching–Miri sebanyak 46 kali seminggu, Kuching–Bintulu (38 kali seminggu) dan Kuching–Sibu (37 kali seminggu).

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement