BISNES
Kazakhstan lihat Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN, cadang platform dialog ASEAN-Asia Tengah

Sugurbayev berkata lawatan rasmi PM Anwar ke Kazakhstan tahun lepas mewujudkan "momentum baharu, rentak baharu dalam usaha membina hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan." - Foto Kedutaan Kazakhstan di Malaysia
KUALA LUMPUR: Kazakhstan melihat Malaysia sebagai pintu masuknya ke Asia Tenggara dan blok serantau ASEAN, dan republik di Asia Tengah itu turut mencadangkan penubuhan satu platform dialog ASEAN-Asia Tengah pada masa depan bagi memperluas kerjasama.
Duta Kazakhstan ke Malaysia Bulat Sugurbayev berkata peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai rakan utama bagi Kazakhstan dalam usaha menjalin hubungan dengan rantau ini.
"Malaysia telah menjadi pintu masuk kami sejak 1993, apabila hubungan diplomatik bermula.
"Kedutaan pertama kami di Asia Tenggara ditempatkan di Kuala Lumpur, dan ia merangkumi semua negara ASEAN di rantau ini, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN," katanya.Beliau berkata demikian dalam program Bernama TV, The Nation bertajuk “Diplomacy In Action: Malaysia Kazakhstan” yang disiarkan pada Selasa.
Sugurbayev berkata lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kazakhstan tahun lepas telah mewujudkan "momentum baharu, rentak baharu dalam usaha membina hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan."
"Tahun ini, ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025, kami percaya adalah amat penting untuk kami terus membawa mesej ini, baik ke Kazakhstan mahupun dari Kazakhstan ke Malaysia," katanya.
Mengenai peranan lebih luas ASEAN, beliau menekankan bahawa blok serantau itu yang bermula sebagai instrumen ekonomi, kini telah berkembang menjadi kuasa penstabil rantau ini.
"ASEAN telah melakukan tugas yang sangat baik, dan Kazakhstan meneliti ASEAN dan pengalaman ASEAN. Kami mahu membangunkan mekanisme yang sama di Asia Tengah. Dan kami mendoakan yang terbaik untuk ASEAN," katanya.
Duta itu turut memuji kepimpinan Malaysia dalam ASEAN, dengan merujuk peranan Kuala Lumpur sebagai pengantara dalam konflik Kemboja-Thailand sebagai contoh keberkesanan ASEAN dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan.
"Satu daripada contoh terbaik, tahniah kepada Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, ialah dalam menyelesaikan konflik Kemboja dan Thailand. Ia dilakukan dengan pantas dan berkesan," katanya.
Sugurbayev menyuarakan harapan agar kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dapat membuka laluan ke arah hubungan lebih erat antara ASEAN dan Asia Tengah pada masa depan.
"Saya berharap ASEAN dan Asia Tengah dapat membangunkan satu bentuk platform, satu platform dialog, supaya bukan sahaja hubungan dua hala antara negara tetapi juga rantau ke rantau, isu serta potensi penting akan dibincangkan dan dilaksanakan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami