Sistem perbankan global berada di kedudukan yang baik untuk menyerap kejutan ekonomi yang disebabkan COVID-19, tetapi gelombang kedua virus itu yang menyebabkan pelaksanaan sekatan perjalanan baharu atau perubahan tingkah laku pengguna akan menimbulkan ancaman besar, kata Moody's Investors Service dalam laporannya pada Khamis.

Prospek bank global berubah menjadi negatif pada awal tahun 2020 ketika wabak itu melanda dan sekatan aktiviti ekonomi mula memberi kesan buruk.

Lebih tiga perempat daripada 70 Tinjauan Sistem Perbankan dilakukan Moody's kini berada pada paras negatif, berbeza dengan 14 peratus mencatatkan negatif pada akhir tahun 2019.

Bagaimanapun, selepas 10 tahun keadaan ekonomi yang tidak dapat dielakkan dan tekanan pengawalseliaan yang berterusan untuk mengukuhkan lembaran imbangan, kebanyakan sistem perbankan berada dalam keadaan baik serta dapat bertahan terhadap kenaikan hutang lapuk yang tidak dapat dielakkan dalam bulan-bulan akan datang.

Selain itu tindakan yang diambil oleh bank pusat dan kerajaan untuk mengurangkan kesan daripada penularan COVID-19 telah memperlahankan risiko aset dan disokong oleh kecairan dan pembiayaan,

"Berbeza dengan krisis kewangan, sistem perbankan lebih cenderung bertindak sebagai penyerap kejutan.

"Tetapi gelombang kedua pandemik itu yang membawa kepada sekatanan perjalanan yang baharu dan krisis ekonomi dapat memberi kesan yang berpanjangan terhadap profil kredit bank," kata Pengarah Urusan Perbankan di Moody's Investors Service, Nick Hill dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Dalam konteks ketidaktentuan, beliau berkata keupayaan untuk memelihara dan memulihkan modal dalam jangka sederhana akan menjadi sokongan penting kepada kebolehpercayaan kredit bank.

Bank-bank di Eropah mempunyai kelebihan kerana permodalan permulaan mereka lebih tinggi daripada bank-bank di kebanyakan rantau lain.

Menurutnya, bank dengan kepelbagaian model perniagaan terutama yang mempunyai aktiviti pasaran modal juga akan terbukti lebih kukuh daripada yang menumpukan perhatian kepada aktiviti yang lebih terdedah seperti memberi pinjaman kepada perniagaan kecil dan korporat.

Beliau berkata cabaran besar adalah keuntungan lemah yang dihadapi negara seperti Jepun dan Eropah dan memerlukan penyusunan semula iaitu menggunakan pra-peruntukan keuntungan serta mengurangkan penyerapan kerugian.

Dalam pada itu, pendigitalan dan kadar faedah rendah akan menambahkan risiko yang dihadapi bank dengan kecekapan yang lebih rendah, katanya.

-- BERNAMA