Jurang gaji antara jantina di Jerman masih ketara

Jurang gaji jantina yang tidak dilaras adalah jauh lebih rendah di timur Jerman iaitu sebanyak lima peratus, berbanding 17 peratus di bahagian barat. - Gambar hiasan
FRANKFURT: Golongan wanita di Jerman sekali lagi dilaporkan menerima gaji yang jauh lebih rendah berbanding lelaki tahun ini, menurut laporan Pejabat Perangkaan Persekutuan pada Selasa, lapor agensi berita Jerman dpa.
Ringkasan AI
- Wanita di Jerman masih menerima gaji purata EUR22.81 sejam, EUR4.24 lebih rendah daripada lelaki, menunjukkan jurang gaji kekal stabil pada 16 peratus.
- Jurang gaji jantina sebanyak enam peratus walaupun wanita mempunyai kelayakan dan sejarah pekerjaan yang setara dengan lelaki.
- Faktor seperti pekerjaan sambilan dan gaji rendah dalam bidang lazim wanita, menyumbang kepada jurang gaji yang tidak berubah pada 2025.
Pejabat statistik itu mengatakan hampir dua pertiga daripada jurang gaji itu disebabkan kadar pekerjaan sambilan yang lebih tinggi dalam kalangan wanita serta gaji yang lebih rendah dalam bidang pekerjaan yang lazimnya diceburi oleh wanita.
Ini meninggalkan baki jurang gaji jantina terlaras sebanyak EUR1.71, atau kira-kira enam peratus daripada gaji kasar sejam, tanpa penjelasan yang jelas. Angka itu kekal tidak berubah pada 2025.
Walaupun mempunyai pekerjaan, kelayakan dan sejarah pekerjaan yang setara, wanita tetap memperoleh enam peratus kurang daripada lelaki yang menerima gaji sejam sebanyak EUR27.05.
Agensi itu mengesyaki bahawa tempoh berhenti seketika dalam kerjaya - contohnya disebabkan kehamilan, penjagaan anak atau menjaga ahli keluarga - memainkan peranan, namun butiran ini tidak direkodkan secara terperinci.
Pejabat itu percaya angka enam peratus itu mewakili had siling bagi kemungkinan diskriminasi pendapatan oleh majikan.
Dalam pada itu, jurang gaji jantina yang tidak dilaras adalah jauh lebih rendah di timur Jerman iaitu sebanyak lima peratus, berbanding 17 peratus di bahagian barat.
Selaras dengan piawaian statistik Eropah, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan, serta pentadbiran awam, pertahanan dan keselamatan sosial dikecualikan daripada pengiraan ini.
Jurang gaji jantina dilihat jauh lebih kecil dalam sektor awam iaitu sebanyak empat peratus. Jika sektor ini dimasukkan, jurang gaji yang tidak dilaras di seluruh negara akan turun kepada 15 peratus.
--BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


