KUALA LUMPUR: Kemungkinan untuk Malaysia bankrap seperti Sri Lanka adalah amat tipis, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sewaktu menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Selasa, beliau berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sendiri tidak pernah menyatakan Malaysia mengalami masalah ekonomi seperti mana terjadi kepada negara muflis.

Sebaliknya, kata Menteri Kewangan lagi, IMF telah menyuarakan keyakinan pada hujung April lepas bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia bagi tahun ini akan berkembang pada kadar 5.75 peratus.

“Kalau kita bandingkan indikator ekonomi Malaysia dan Sri Lanka, adalah jelas bahawa ekonomi kita jauh lebih kukuh berbanding ekonomi Sri Lanka, jadi kemungkinan untuk negara bankrap seperti Sri Lanka amat tipis.

“Dari segi pengurusan kewangan, memang kerajaan perlu terus mengurus kewangan negara berhemah, dan mengawal hutang dari segi kemampuan,” katanya lagi.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan tentang mengapa negara tidak terus meminjam bagi membantu rakyat, Tengku Zafrul berkata ia bergantung kepada dua faktor – kemampuan berhutang dan kemampanan hutang.

“Sebenarnya kebolehan sebuah negara menignkatkan jumlah pinjaman bukan bergantung semata-mata kepada nisbah hutang kepada KDNK, tapi faktor paling penting ialah kemampuan keberhutangan (debt affordability) dan juga kemampanan hutang (debt sustainability).

“Nisbah bayaran khidmat hutang ataupun debt service ratio kepada hasil bagi Malaysia telah mencapai 16.3 peratus pada 2021, dan berdasarkan bajet tahun ini ia dijangka melebihi 18 peratus.

“Ini bermakna setiap RM1 hasil kerajaan hampir 20 sen digunakan untuk membayar faedah atau bunga hutang, dan tidak ambil kira pun keupayaan untuk membayar balik pokok pinjaman kerajaan,” katanya lagi.

Tengku Zafrul berkata, keupayaan negara untuk menambah tahap keberhutangan adalah terhad berbanding negara lain, sebagai contoh nisbah bayaran khidmat hutang United Kingdom adalah 6.6 peratus, manakala Jepun pada kadar 4 peratus.

“Di samping itu nisbah peratusan cukai kepada KDNK untuk Malaysia pada sekitar 11%, lebih rendah berbanding Filipina (18 peratus), Thailand (17 peratus) dan Singapura (13 peratus).

“Secara purata nisbah peratusan cukai kepada KDNK bagi negara maju seperti negara OECD lebih 33%. Jadi ini bermakna walaupun ekonomi negara semakin pulih pada tahun 2022, pertumbuhan ekonomi tersebut tidak menjana hasil sewajarnya untuk kita menambah hutang kita,” tambahya.