Skip to main content

Malaysia

PM Anwar sumbang lembu kepada pengamal media Pahang, Kedah

https://bernama.com/bm/news.php?id=2562258
Di Pahang, sumbangan itu diterima oleh Pahang Press yang melaksanakan ibadah berkenaan di Kampung Anak Air, di sini dengan dibantu kira-kira 40 orang Skuad Korban Tok Peramu. - Gambar/ Bernama

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbang seekor lembu kepada pengamal media di Pahang dan Kedah untuk ibadah korban bersempena dengan Aidiladha tahun ini.

Di PAHANG, sumbangan buat kali pertama itu diterima oleh Persatuan Pengamal Media (Pahang Press) yang melaksanakan ibadah berkenaan di Kampung Anak Air, di sini dengan dibantu kira-kira 40 orang Skuad Korban Tok Peramu.

Pengerusi Pahang Press Fazli Ahmad berkata sumbangan berkenaan membolehkan agihan daging korban dilakukan kepada wartawan dan jurugambar daripada pelbagai agensi media termasuk media cetak dan elektronik serta komuniti di Kampung Anak Air.

“Pahang Press mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menyumbang seekor lembu untuk dikorbankan dan hasil korban itu diagihkan kepada petugas media.

“Bagi pengamal media di Pahang, sumbangan ini mempunyai kelainan tersendiri kerana lembu ini dikorbankan atas ingatan Perdana Menteri kepada kami sebagai petugas yang berperanan menyampaikan maklumat serta menjadi penghubung antara kerajaan dengan masyarakat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata program itu menjadi platform memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pengamal media menerusi aktiviti gotong-royong, termasuk pengalaman pertama sebahagian peserta melapah daging korban.

“Program ini satu pengalaman berbeza kerana kita bukan sahaja menerima sumbangan daging korban, malah dapat mengeratkan hubungan sesama pengamal media melalui semangat bekerjasama. Paling penting, ia menunjukkan penghargaan Perdana Menteri terhadap peranan petugas media di Pahang,” katanya. 

Sementara itu, di KEDAH, sumbangan lembu itu disampaikan Setiausaha Politik Kanan Presiden Keadilan Rakyat Datuk Romli Ishak kepada Ahli Jawatankuasa Kelab Media Elit Kedah (KMEK) Wan Nabil Nasir sebagai tanda penghargaan terhadap peranan pengamal media di negeri itu.

Romli berkata sebanyak 25 ekor lembu disumbangkan untuk dikorbankan, dengan seekor daripadanya diberikan kepada KMEK dan 24 lagi diagihkan kepada penduduk setempat.

“Sebanyak lima ekor daripadanya dikorbankan di sini hari ini, manakala 20 ekor lagi akan dikorbankan di Kuala Kedah esok,” katanya pada Program Ibadah Korban MADANI di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Nabil merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sumbangan tersebut yang menunjukkan keprihatinan beliau terhadap pengamal media di Kedah.

“Saya mewakili KMEK mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang sentiasa mengambil berat kebajikan pengamal media khususnya di Kedah.

“Sumbangan ini bukan sahaja membantu ahli-ahli KMEK yang terlibat menjalani ibadah korban, malah daging korban turut diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement