KUALA LUMPUR: Kejayaan mencatat rekod RM426.7 bilion pelaburan diluluskan pada 2025 meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih kukuh untuk menghadapi cabaran ekonomi global sepanjang 2026.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata demikian pada Persidangan Media Tahunan MIDA 2026 (AMC 2026) pada Jumaat.
Advertisement
"Jumlah tersebut merangkumi 8,390 projek dengan potensi mencipta 244,902 pekerjaan, mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap dasar negara walaupun dunia terus berdepan ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan.
"Pelaburan domestik menyumbang RM219.6 bilion, manakala pelaburan asing melonjak 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion, dipacu pelabur utama seperti Singapura dan China.
"Dari segi negeri, Johor kekal peneraju dengan RM110 bilion, diikuti Selangor dan Kuala Lumpur, manakala negeri kurang maju turut menerima RM66 bilion melalui 941 projek.
"Sektor perkhidmatan terus mendominasi dengan RM281.3 bilion, dipacu pertumbuhan pusat data dan teknologi digital termasuk projek mega Racks Central Data Centre bernilai RM26.6 bilion.
"Sektor pembuatan pula merekodkan RM131.3 bilion, ditunjangi pelaburan strategik seperti TF AMD Microelectronics, Pengerang Biorefinery dan hab kenderaan elektrik Proton di Tanjung Malim," jelas beliau.
Sim turut memaklumkan bahawa lebih 90 peratus projek diluluskan antara 2021–2024 telah dilaksanakan, manakala projek 2025 mencapai 62.2 peratus kadar pelaksanaan, berkat fasilitasi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi (TRACK) dan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia atau Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC).
Beliau berkata Malaysia kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya melalui pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu (NIF), Akta Pembangunan Perindustrian 2026 serta Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN), yang menjadi asas kepada agenda ekonomi bernilai tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke‑13 (RMK13)
“Rekod ini membuktikan kemampuan Malaysia bukan sekadar menarik pelaburan, tetapi melaksanakannya. Dengan asas yang kukuh ini, negara memasuki 2026 dengan keyakinan lebih besar,” katanya.