Skip to main content

Dunia

Iran umum peraturan maritim baharu susulan ketegangan di Selat Hormuz

Ships and boats in the Strait of Hormuz, Musandam, Oman, April 22, 2026. REUTERS/Stringer
Tentera Laut IRGC memaklumkan ia akan melaksanakan kawalan ke atas “hampir 2,000 kilometer (1,243 batu) garis pantai Iran” di kawasan itu. - Gambar fail/Reuters

ISTANBUL: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan “peraturan baharu” di kawasan pesisir pantai negara itu di Teluk Parsi dan Selat Hormuz, dengan menyatakan langkah berkenaan dibuat atas arahan Pemimpin Agung Mojtaba Khamenei, lapor Anadolu Ajansi dengan memetik penyiar tempatan.

Tentera Laut IRGC memaklumkan ia akan melaksanakan kawalan ke atas “hampir 2,000 kilometer (1,243 batu) garis pantai Iran” di kawasan itu, sekali gus menjadikan “perairan berkenaan sebagai sumber mata pencarian dan kekuatan bagi rakyat Iran serta sumber keselamatan dan kemakmuran bagi rantau itu,” menurut Press TV milik kerajaan pada Jumaat malam.

Advertisement

Tiada butiran lanjut didedahkan.

Ketegangan berkaitan Selat Hormuz terus memuncak apabila Tehran menyekat laluan di perairan strategik itu sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat-Israel yang bermula pada 28 Feb lepas.

Satu gencatan senjata diumumkan pada 8 April lepas menerusi pengantaraan Pakistan, diikuti rundingan di Islamabad pada 11 hingga 12 April, namun tiada kata sepakat dicapai.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kemudiannya melanjutkan gencatan senjata itu secara unilateral tanpa menetapkan jangka masa baharu, atas permintaan Pakistan.

Sejak 13 April, Amerika Syarikat melaksanakan sekatan laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di laluan air berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video