BISNES
Kelayakan tambahan BUDI95 mungkin diumumkan pada Belanjawan 2026

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September lepas. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi tidak menolak kemungkinan had kelayakan tambahan inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada sektor e-hailing diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2026 minggu depan.
Ringkasan AI
- Kementerian Ekonomi tidak menolak kemungkinan pengumuman had kelayakan tambahan subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk sektor e-hailing semasa Belanjawan 2026.
- Kerajaan telah bersetuju memberi kelayakan tambahan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa bermula 15 Oktober, dengan permohonan dibuat secara berkelompok melalui syarikat pengendali.
- BUDI95 kini dilaksanakan berperingkat, melibatkan ATM, PDRM, penerima STR B40, dan bakal diperluas kepada 16 juta rakyat Malaysia yang layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.
"Itu (kuota tambahan) akan diumumkan berdasarkan keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan tidak lama lagi. Ada kemungkinan (diumumkan bersama-sama dengan Belanjawan 2026)," katanya selepas melancarkan program Junior Innovathon di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai isu pemilik dan pengguna kenderaan persendirian yang tidak memiliki lesen memandu sah, beliau berkata setiap usaha yang dilaksanakan kerajaan akan diberikan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
"Jadi, dalam hal ini, kita sentiasa meneliti (keperluan) penambahbaikan yang akan kita laksanakan berdasarkan hasil daripada pelaksanaan yang telah pun dibuat," katanya.
Pada Rabu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah bersetuju memberi had kelayakan tambahan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa bermula 15 Oktober ini.
Pemandu e-hailing tidak perlu membuat permohonan secara individu, sebaliknya kerajaan akan berurusan terus dengan syarikat pengendali e-hailing (EHO) bagi permohonan secara berkelompok, menurut MOF.
MOF juga telah menjelaskan bagi pengangkutan air, kerajaan turut melanjutkan kelayakan BUDI95 kepada warganegara yang memiliki bot berdaftar tanpa memerlukan lesen memandu yang sah.
BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September lepas, bermula dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada Ahad lepas.
Secara keseluruhan, sebanyak 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, dengan had kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami