KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengikut langkah kuasa ekonomi besar dengan menaikkan kadar faedah bagi mengawal pergerakan harga dan memastikan inflasi terkawal.

Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Mohd Yusof Saari bagaimanapun berpandangan sebarang dasar perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan tekanan kepada inflasi.

Jelas beliau lagi, kenaikan kadar faedah juga akan mengurangkan keupayaan pihak swasta untuk mengembangkan ekonomi mereka melalui pinjaman, sekali gus mengurangkan aliran kewangan dalam ekonomi negara.

"Apabila ini berlaku ia sedikit sebanyak akan mengurangkan permintaan dan kuasa beli (yang) bertujuan untuk memastikan inflasi itu terkawal, itu yang akan berlaku.

"Tetapi dalam keadaan sekarang ini agak rumit, kerana inflasi ini bukan sahaja datang daripada permintaan yang bertambah tetapi dalam konteks Malaysia sendiri, kebimbangan saya ialah inflasi ini tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh alat kawalan kewangan seperti kenaikan kadar faedah.

"Kerana kita lihat seperti yang diumumkan oleh kerajaan pada 1 Mei lalu, kenaikan upah minimum kalau ia ingin dilaksanakan secara menyeluruh, kita akan jangkakan tekanan yang lebih tinggi kepada inflasi akan berlaku," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan United Kingdom dan India yang telah menaikkan kadar faedah di negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata tekanan kepada inflasi berpunca daripada pelbagai faktor termasuk rantaian bekalan di luar negara dan kekurangan buruh di Malaysia.

Malah ujarnya, agak sukar ketika ini untuk Malaysia melakukan  pembaharuan bagi memastikan ekonomi berada dalam keadaan kalis inflasi.

"Apa yang boleh kita lakukan ialah kita tidak boleh mengelak inflasi dari terus berlaku tetapi kita boleh memastikan inflasi itu bersederhana dan tidak memberi kesan sebaliknya kepada ekonomi.

"Tetapi dalam keadaan ekonomi yang masih proses pemulihan dan banyak lagi faktor lain tekanan dan  kesan di pasaran termasuk kekurangan bekalan seperti tenaga buruh, ini menyukarkan keadaan di mana untuk kita mengawal inflasi.

"Justeru, dengan mengambil kira perkara-perkara tersebut saya mengalakkan atau menyarankan pihak berwajib supaya berhati-hati dalam melaksanakan dasar yang boleh menekan inflasi atau menekan harga untuk naik," tambahnya.