KUALA LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pertamanya pada 2022 bukan satu langkah yang mengejutkan dan merupakan penilaian neutral kepada positif berdasarkan pengumuman semalam.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bank pusat dilihat selesa dengan keadaan ekonomi berikutan pembukaan semula ekonomi yang akan terus berlaku dengan pelaksanaan vaksinasi yang berkesan.

"Sehubungan itu, BNM terus meletakkan kaveat dalam penilaian mereka dengan menyatakan risiko penurunan terus jelas kelihatan dan keputusan dasar akan bergantung kepada data yang masuk.

"Pemangkin kepada inflasi yang tinggi adalah daripada gangguan bekalan dan keadaan permintaan yang bertambah baik tetapi kemerosotan sumber dalam ekonomi, terutamanya pasaran buruh, akan mengawal tekanan inflasi," katanya kepada Bernama.

Terdahulu, BNM mengumumkan bahawa MPC memutuskan untuk mengekalkan OPR pada status quo dengan pandangan bahawa ekonomi global terus pulih, disokong oleh aktiviti perkilangan dan perdagangan.

Katanya jawatankuasa tersebut melihat pendirian dasar monetari semasa adalah wajar dan akomodatif.

Kadar faedah utama telah dikekalkan pada 1.75 peratus sejak Julai 2020, terendah sejak 2004.

Mohd Afzanizam berkata BIMB mengekalkan saranannya bahawa OPR akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua tahun ini.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata tumpuan semasa untuk penetapan dasar monetari BNM adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan, terutamanya selepas langkah-langkah pembendungan yang panjang pada tahun lepas.

Dengan kadar inflasi berada dalam unjuran BNM, firma penyelidikan itu berpendapat bahawa terdapat kurang tekanan untuk bank pusat segera beralih kepada dasar yang terhad.

"Pada masa ini, kami menjangka normalisasi dasar mungkin akan dilaksanakan pada separuh kedua 2022.

"Bagaimanapun, keputusan itu akan tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan peningkatan keadaan makroekonomi yang seterusnya, terutamanya pemulihan yang berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik yang semakin meningkat," katanya dalam nota penyelidikan.

MIDF berkata dari perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelak risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi pada masa depan seperti inflasi yang terus tinggi dan hutang isi rumah yang meningkat.

Mesyuarat MPC yang akan datang dijadualkan pada 3 Mac 2022.

-- BERNAMA