BISNES
Kerajaan berjaya kurangkan hutang baharu - PM Anwar

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata hutang baharu tahunan berjaya dikurangkan seiring dengan pengurangan defisit. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya berjaya mengurangkan hutang baharu tahunan kepada RM77 bilion pada 2024 daripada RM99 bilion pada 2022.
Ringkasan AI
- Kerajaan berjaya kurangkan hutang baharu tahunan daripada RM99 bilion (2022) kepada RM77 bilion (2024), menunjukkan pengurusan fiskal lebih berhemat tanpa ganggu pembangunan negara.
- Defisit fiskal turun secara berperingkat daripada 5.5% kepada 4.1%, dengan sasaran 3.8% tahun ini, sambil mengekalkan keseimbangan antara disiplin kewangan dan keperluan pembangunan.
- Malaysia naik 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2025 dan mendapat pujian IMF atas komitmen reformasi fiskal, termasuk pelaksanaan Akta FRA yang memperkukuh kebertanggungjawaban Parlimen.
"Mereka kata jumlah (hutang) keseluruhan yang lebih, masuk (sekali) dengan hutang lama dan bunga yang kita kena bayar tetapi saya kata kerajaan janji untuk kurangkan hutang baharu, itu kita telah tunaikan.
"Bagaimanapun, yang disebar sana sini, kita tambah (hutang), jadi seolah-olah kita menipu rakyat. Kalau lihat pada angka ini, siapa yang menipu?," soalnya ketika berucap pada majlis perjumpaan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata hutang baharu tahunan berjaya dikurangkan seiring dengan pengurangan defisit selain memberi komitmen bahawa kerajaan akan mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat dan bertanggungjawab tanpa menjejaskan pembangunan negara.
Beliau berkata pendekatan kerajaan ialah mengurangkan defisit fiskal negara daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024, dengan sasaran 3.8 peratus bagi tahun ini.
Beliau menjelaskan kerajaan memilih pendekatan secara berperingkat agar pengurangan defisit tidak mengorbankan keperluan pembangunan dan keyakinan pasaran.
Anwar berkata langkah itu selari dengan prinsip ekonomi yang menekankan disiplin kewangan dalam pengurusan ekonomi sesebuah entiti termasuk negara.
"Kita ambil alih pada 2022, defisit fiskal ketika itu 5.5 peratus. Apa itu defisit? Ia bermaksud perbelanjaan melebihi pendapatan negara, maknanya kita berhutang.
"Kita urus ekonomi negara macam ekonomi rumah tangga. Kalau pendapatan RM5,000 tetapi belanja RM7,000, itu defisit. Oleh itu, sekarang kita turunkan belanja kepada RM6,500, RM6,000, RM5,500 dan kalau turun mendadak, nanti (pembangunan) tidak boleh bergerak," kata beliau.
Perdana Menteri turut memuji hasil kerja pasukan perkhidmatan awam yang melaksanakan tanggungjawab sehingga Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2025, iaitu ke-23 berbanding 2024 (ke-34), didorong oleh peningkatan prestasi ekonomi dan kecekapan pentadbiran.
Jun lepas, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam indeks tersebut, merupakan pencapaian terbaik negara sejak 2020, sekali gus mencerminkan momentum progresif dalam agenda pemulihan dan pembaharuan ekonomi negara.
Selain itu, Anwar berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan Misi Artikel IV bagi 2025 memuji komitmen Malaysia dalam melaksanakan reformasi fiskal termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).
"Apa maksudnya? Maksudnya Menteri Kewangan menyerahkan sebahagian kuasanya kepada Parlimen untuk menilai sekiranya tidak memenuhi sasaran. Kita lakukan begitu," kata beliau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami