KUALA LUMPUR:Kerajaan dijangka mengumumkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar lebih rendah daripada enam peratus dalam Belanjawan 2022 dan melancarkan rejim cukai itu pada 2023, menurut Affin Hwang Capital.

Ketua Ekonominya, Alan Tan berkata faktor utama yang menyokong kemungkinan pengenalan semula GST ialah rejim cukai itu akan memberi lebih banyak kelonggaran kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan korporat dan peribadi, menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.

"Antara aspek yang kami menyokong GST ialah ia mengambil hasil daripada cukai tidak langsung berbanding cukai langsung, dan kerajaan mempunyai fleksibiliti untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan korporat dan peribadi untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi pelaburan yang lebih menarik," katanya pada taklimat media secara maya hari ini.

Tan turut bersetuju bahawa GST adalah asas cukai yang lebih luas berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menurut beliau, dalam melaksanakan GST, kerajaan akan turut melihat isu bekalan, seperti bekalan kadar standard, bekalan kadar sifar, bekalan dikecualikan dan menetapkan nisbah yang sesuai untuk perniagaan mendaftar.

"Seperti yang kita ketahui, bayaran balik cukai menjadi antara isu utama dalam rejim GST sebelum ini, dan kami percaya kerajaan semasa akan turut melihat skim bayaran balik untuk menjadikannya lebih cekap (kali ini)," katanya.

Mengenai pasaran buruh di negara ini, Tan berkata Affin Hwang Capital mengunjurkan kadar pengangguran dijangka bertambah baik kepada 4.0-4.5 peratus pada akhir 2021 daripada 4.8 peratus dicatatkan pada November 2020.

Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan situasi ekonomi pada 2021, berikutan pelaksanaan vaksin COVID-19, persekitaran luaran yang menggalakkan dan pelaburan swasta yang meningkat di negara ini.

-- BERNAMA