KUALA LUMPUR: Potensi pasaran senjata yang menguntungkan serta keperluan membina rangkaian pertahanan dan keselamatan yang lebih kukuh dalam persekitaran geopolitik semasa mungkin mendorong Jepun menyemak semula peraturan eksport senjatanya baru-baru ini, menurut seorang pakar.
Pengarah Pusat Kajian Kepimpinan, Strategi Keselamatan dan Pertahanan di Pusat Kecemerlangan Sultan Ibrahim, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Dr Adam Leong Kok Wey berkata, beliau percaya Jepun melihat potensi dalam pasaran senjata susulan perang Rusia-Ukraine yang berterusan serta konflik AS-Israel dengan Iran baru-baru ini.
Advertisement
“Dalam satu keadaan, mereka akan memperoleh keuntungan, dan keuntungan itu boleh dilaburkan semula ke dalam industri pertahanan mereka bagi menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan persenjataan yang lebih canggih.
“Sebab kedua, pada pandangan saya, turut mencerminkan situasi geopolitik di Asia Timur Laut, khususnya dengan kemunculan China sebagai kuasa global utama,” katanya.
Leong berkata demikian dalam program Bernama World terbitan BernamaTV bertajuk Japan Opens Up Arms Exports. What It Means for the World, baru-baru ini.
Beliau juga berpandangan, Jepun menggunakan potensi jualan senjata pada masa hadapan untuk membina rangkaian diplomasi pertahanan dengan negara rakan yang sehaluan, selain kerjasama sedia ada seperti Dialog Keselamatan Kuadrilateral (Quad) bersama India, Australia dan Amerika Syarikat (AS), serta pakatan “Squad” dengan Filipina, Australia dan AS.
Leong menegaskan, pengumuman terbaharu Jepun itu bukan sesuatu yang benar-benar baharu kerana negara itu telah mengubah pendekatan pertahanannya sejak sedekad lalu dengan memodenkan angkatan pertahanannya secara berperingkat serta mula menjual peralatan ketenteraan kepada rakan luar negara, kebanyakannya bagi tujuan kemanusiaan dan bantuan bencana.
“Terdapat juga tafsiran semula Perkara 9 (Perlembagaan) yang membolehkan mereka melaksanakan misi dan operasi pertahanan diri secara proaktif bersama sekutu mereka, termasuk AS,” katanya.
Kerajaan Jepun pada 21 April menyemak semula had eksport peralatan pertahanan bagi membolehkan penjualan senjata ke luar negara.
Di bawah perubahan yang diluluskan Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara, eksport peralatan bukan senjata seperti sistem radar amaran dan kawalan tidak dikenakan sekatan, manakala eksport senjata termasuk kapal pemusnah dan peluru berpandu dihadkan kepada negara yang menandatangani perjanjian dengan Jepun berkaitan perlindungan maklumat sulit berkaitan peralatan dan teknologi pertahanan, menurut Kyodo News.
Jepun kini mempunyai perjanjian sedemikian dengan 17 negara termasuk AS dan Britain.
-- BERNAMA