Skip to main content

Malaysia

Kompleks Persekutuan Tunjong mercu tanda baharu di Kelantan

FB Jabatan Kerja Raya Malaysia
Projek itu merangkumi pembinaan tiga blok utama, sebuah auditorium berkapasiti 300 orang, dewan serbaguna berkapasiti 1,000 orang, surau serta kafetaria. - Gambar Bernama

KOTA BHARU: Selepas enam tahun, Kompleks Persekutuan Kota Bharu di Tunjong kini siap sepenuhnya dan  menjadi satu mercu tanda baharu Kerajaan Persekutuan di Kelantan.

Menurut kenyataan JKR pada Ahad, projek pembangunan kompleks di atas tanah seluas 11 hektar itu bermula 1 Jun 2020 dan telah berjaya disiapkan pada 16 April selepas mengharungi pelbagai cabaran.

Advertisement

Ia termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun hasil semangat kerja berpasukan dan komitmen semua pihak, projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) secara reka dan bina berjaya disiapkan.

“Kompleks Persekutuan Kota Bharu ini, melambangkan usaha memperkukuh urusan pentadbiran dengan menghimpunkan 36 agensi daripada 15 kementerian dalam satu pusat pentadbiran moden dan bersepadu,” menurut kenyataan itu.

Majlis penyerahan projek itu telah disempurnakan Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Roslan Ismail kepada Jabatan Perdana Menteri selaku pelanggan dalam satu majlis dengan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abd Shukor Mahmood.

JKR turut memaklumkan, projek berkenaan turut melakar pencapaian tersendiri apabila berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan sebelum Sijil Perakuan Siap Kerja dikeluarkan. 

Selain itu, projek ini juga berjaya mencapai penarafan MYCREST tiga bintang dan mempunyai Penyata Akaun Muktamad (Sofa).

JKR memaklumkan, projek berkenaan merangkumi pembinaan tiga blok utama, sebuah auditorium berkapasiti 300 orang, dewan serbaguna berkapasiti 1,000 orang, surau serta kafetaria. 

"Bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam, kompleks ini turut dilengkapi kemudahan sukan seperti tiga gelanggang badminton, gelanggang sepak takraw dan gelanggang futsal.

"Ia juga disokong kemudahan seperti bangunan stesen suis utama, kolam tadahan air dan Chiller Plant bagi memastikan bangunan berfungsi pada tahap optimum," menurut JKR.

Tempoh tanggungan kecacatan bagi projek ini telah ditetapkan selama dua tahun, bermula 17 April 2026 hingga 17 April 2028.

Keberhasilan menyiapkan projek mega ini mencerminkan komitmen jitu Kerajaan MADANI dalam memastikan penyampaian projek bukan sekadar siap, tetapi menekankan ketersediaan kemudahan yang beroperasi secara optimum demi kesejahteraan rakyat di daerah Kota Bharu dan Kelantan amnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video