Kerajaan jimat RM20 bilion dalam tempoh dua tahun hasil konsolidasi fiskal - Lim

Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying bercakap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan melaksanakan konsolidasi fiskal bagi mengurangkan kadar defisit telah berjaya menghasilkan penjimatan pinjaman sebanyak RM20 bilion bagi tempoh dua tahun, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Ringkasan AI
- Kerajaan berjaya jimat lebih RM20 bilion pinjaman dalam dua tahun hasil konsolidasi fiskal yang menurunkan kadar defisit daripada 6.4% (2021) kepada 4.1% (2024), dengan pinjaman baharu susut kepada RM76.8 bilion pada 2024.
- Jumlah hutang negara RM1.3 trilion setakat Jun 2025 masih di bawah had statutori; pinjaman kerajaan tertumpu kepada sektor pembangunan strategik seperti infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.
- LHDN kutip RM6.47 bilion daripada akaun belum terima melalui tindakan penguatkuasaan, manakala hapus kira RM337.14 juta dibuat mengikut prosedur bagi kes tidak boleh dituntut seperti kematian, bankrap atau syarikat digulung.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Lim, pinjaman yang dibuat oleh kerajaan adalah secara berhemat dan terarah kepada sektor pembangunan strategik iaitu infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial yang berupaya merangsang pertumbuhan jangka masa panjang dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Dalam mengawal hutang negara, kerajaan tertakluk kepada hak hutang berdasarkan perundangan. Sehingga akhir Jun 2025, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan ialah RM1.3 trilion iaitu masih di bawah hak statutori hutang yang dibenarkan.
"Kerajaan akan meneruskan langkah-langkah bersesuaian bagi mengurangkan defisit dan hutang baharu termasuk liabiliti serta kebergantungan negara kepada hutang," tambahnya.
Dalam pada itu, Lim menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas pembayar cukai adalah berdasarkan peruntukan undang-undang percukaian tanpa mengira status pembayar cukai.
Jelasnya, bagi pembayar cukai yang culas membayar cukai, tindakan penguatkuasaan guaman sivil diambil melalui operasi guaman, pemfailan saman, penghakiman dan pelaksanaan penghakiman, serta sekatan perjalanan untuk menghalang pembayar cukai keluar negara.
"Sehingga 31 Ogos, 2025, daripada baki akaun belum terima (ABT) LHDN, sebanyak RM6.47 bilion telah dikurangkan melalui penerimaan bayaran dan lain-lain tindakan," katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan keputusan hapus kira berjumlah RM337.14 juta pada 2024 telah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan dan garis panduan LHDN.
Ia terhad kepada kes-kes di mana kutipan tidak lagi boleh dilaksanakan seperti pembayar cukai yang meninggal dunia, bankrap atau syarikat telah digulung.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami