Kerajaan mensasarkan sektor e-dagang menyumbang RM211 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan 2016-2020 memainkan peranan utama memacu pertumbuhan memberangsangkan.

"Semakan semula sumbangan e-dagang kepada KDNK dinaikkan kepada RM211 bilion berbanding RM114 bilion. Ia juga menyumbang kepada 20 peratus KDNK berbanding RM68 bilion yang dicatatkan pada 2015," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyampaian hadiah Program '90 Days Business Challenge' anjuran SME Bank di sini hari ini.

Jelasnya, Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan 2016-2020 menggariskan enam bidang utama dan 11 program, melibatkan lima kementerian dan lapan agensi.

Enam bidang itu ialah mempercepatkan penerimaan penjual; meningkatkan penggunaan ePerolehan; menghapuskan halangan bukan tarif; penyusunan semula insentif ekonomi sedia ada; merangsang pelaburan strategik dan mempromosikan jenama negara.

Kementerian yang terlibat termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.