KUALA LUMPUR:Kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah yang dirancang dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan Malaysia kekal di atas landasan pemulihan pada tahun ini.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, negara mempunyai kecairan domestik yang mencukupi bagi rangsangan fiskal tambahan untuk menyokong kehidupan, mata pencarian dan perniagaan.

Beliau berkata, kementeriannya sedang mempertimbangkan pelbagai langkah untuk menyokong rakyat dan perniagaan selama tempoh pemulihan ini.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap kelangsungan hidup rakyat serta perniagaan.

"Asas ekonomi Malaysia yang mantap akan terus membolehkan kerajaan untuk bertindak secara berkesan terhadap persekitaran yang penuh cabaran serta terus mempertahankan pertumbuhan dan ketahanan ekonomi.

"Saya ingin menekankan bahawa kerajaan tetap komited untuk membina momentum pemulihan semasa dan memastikan kelestarian jangka panjang bagi kedudukan kewangan awam dan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia dan para pelabur bahawa pentadbiran negara sentiasa disokong oleh sistem kewangan yang teratur, termasuk pasaran kewangan.

Beliau turut memaklumkan intermediasi kewangan, sistem pembayaran, operasi institusi kewangan dan pasaran kewangan akan diteruskan seperti biasa yang boleh diakses oleh peminjam.

"Bank Negara Malaysia (BNM) memantau keadaan pasaran kewangan bagi memastikan mudah tunai dalam pertukaran asing, pasaran bon dan pasaran wang (termasuk repo) mencukupi, serta keadaan pasaran kekal teratur.

"Penampan sistem perbankan Malaysia dan amalan pengurusan risiko yang mantap dijangka mampu mengurangkan kesan sebarang potensi penurunan kualiti kredit dan terus menyokong pemberian pinjaman oleh bank kepada ekonomi semasa tempoh Ordinan Darurat dan pelaksanaan pelbagai variasi PKP ini," jelasnya.

Sementara itu kata beliau, pasaran modal Malaysia akan terus beroperasi bagi menyokong dan memudahcara proses  pengumpulan dana, perdagangan dan pelaburan dengan semua fungsi pengawalseliaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Ordinan Darurat.

Katanya, kesinambungan operasi pasaran modal ini penting untuk menyokong ketahanan dan pemulihan ekonomi Malaysia, serta membantu pelabur menguruskan peluang dan risiko pelaburan dalam tempoh tersebut.

"Saya juga ingin tekankan bahawa Malaysia mempunyai ekosistem pasaran modal yang berdaya tahan, yang disokong oleh kecairan yang tinggi. Mekanisma pengurusan pasaran tersedia untuk mengawal turun-naik (volatility).

"Dana pelepasan, serta susun atur margin dan simpanan juga sedia ada untuk memastikan risiko penyelesaian dan pelepasan sentiasa terurus.

"Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) bersama dengan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa demi pengurusan risiko secara proaktif di pasaran dan akan melaksanakan langkah pencegahan tambahan, berdasarkan kesesuaian," katanya.