DAVOS: Kurang 24 jam lagi, Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) Ke-53 akan membuka tirai secara rasminya di kaki pergunungan Alps, Davos.

Ribuan pemimpin dunia serta pakar pelbagai industri akan berkampung hampir seminggu di pusat pelancongan ski terkemuka dunia untuk menegaskan semula kepentingan dialog dan kerjasama awam-swasta bagi menangani krisis semasa sekali gus memacu perubahan sistemik yang ketara untuk jangka panjang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal mengetuai delegasi Malaysia ke forum terkemuka dunia itu yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin utama korporat negara.

Berikut beberapa fakta penting yang perlu anda tahu berkenaan penganjuran #WEF23 kali ini.

1. Kehadiran Pemimpin Dunia & Pakar Industri

Mesyuarat kali ini menghimpunkan lebih 2,700 pemimpin dan pakar dari 130 negara. Ia termasuk lebih 370 tokoh daripada kerajaan dan organisasi antarabangsa, lebih 1,500 pemimpin perniagaan dan lebih 90 inovator.

Terdapat juga 56 menteri kewangan, 19 gabenor bank pusat, 30 menteri perdagangan dan 35 menteri luar pada mesyuarat ini.

Program ini menampilkan lebih daripada 450 sesi untuk mempercepatkan kemajuan dan impak dalam menangani cabaran global.

Tumpuan akan diberikan kepada memajukan sistem baharu untuk tenaga, iklim dan alam semula jadi; pelaburan, perdagangan dan infrastruktur; inovasi dan daya tahan sektor swasta; kerja, kemahiran dan penjagaan selain dialog dan kerjasama dalam dunia yang pelbagai.

WEF memudahkan kerjasama awam-swasta melalui inisiatif impak, yang menangani isu-isu daripada pandemik kepada krisis iklim kepada pendidikan, teknologi dan peralihan tenaga.

2. Angka & Fakta
3. Tema

Tema tahun ini ialah 'Kerjasama Di Sebalik Perpecahan Dunia' (Cooperation in a Fragmented World)

Mesyuarat kali in berlangsung tatkala pelbagai krisis berlaku yang menyebabkan masyarakat dan landskap geopolitik saling berpecah-belah.

Pemimpin mesti menangani keperluan segera dan kritikal untuk rakyat sambil meletakkan asas dunia yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Dialog dan kerjasama adalah kunci untuk menangani trend perpecahan yang membimbangkan ini.