GAZA: Hamas pada Sabtu memaklumkan bahawa pihaknya masih berhubung dengan pengantara mengenai peralihan kepada fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza, sambil berkata Israel melemahkan usaha untuk memajukan proses itu, lapor Anadolu Ajansi.
Hazem Qassem, jurucakap kumpulan Palestin itu berkata komunikasi dengan pengantara masih diteruskan bagi mencapai apa yang disifatkannya sebagai pendekatan munasabah dan boleh diterima terhadap pelbagai aspek fasa kedua perjanjian itu.
Kenyataan itu dibuat ketika perbincangan mengenai peralihan kepada fasa kedua perjanjian gencatan senjata, yang berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, menemui jalan buntu, ketika Israel terus melakukan apa yang disifatkan Hamas sebagai pelanggaran terhadap perjanjian itu.
Qassem menuduh Israel melemahkan perjanjian itu menerusi tindakan ketenteraan dan kenyataan politik terkini negara berkenaan.
“Israel bertindak bertentangan dengan perjanjian itu,” katanya sambil merujuk kepada pengumuman Israel untuk meluaskan kawalannya kepada lebih 70 peratus kawasan Gaza serta rancangan yang menurut Hamas bersamaan dengan pemindahan paksa penduduk wilayah itu.
Pada Khamis, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengakui bahawa tentera Israel menguasai kira-kira 60 peratus Gaza dan berkata kawasan di bawah kawalan Israel akan diperluaskan kepada 70 peratus.
Qassem berkata perkembangan itu mempertaruhkan kredibiliti semua pihak yang terlibat dalam proses berkenaan dan menggesa pengantara mengambil pendirian yang jelas serta tegas.
Beliau berkata Hamas telah menunjukkan keterbukaan dan sikap positif terhadap apa yang disifatkannya sebagai idea logik berhubung fasa kedua perjanjian itu, namun berhujah bahawa Israel menghalang kemajuan proses berkenaan.
Qassem turut menuduh Nikolay Mladenov, pengarah eksekutif "Peace Council", merumitkan perbincangan dengan mengaitkan pelbagai isu dalam satu saluran rundingan.
Beliau menggesa Mladenov mengambil pendirian jelas terhadap apa yang disifatkan Hamas sebagai pelanggaran oleh Israel dan tidak menjadi “rakan sekutu” dalam sebarang peningkatan ketenteraan pada masa depan di Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, seramai 929 rakyat Palestin terkorban dan 2,811 lagi cedera akibat pelanggaran Israel terhadap perjanjian gencatan senjata sejak ia berkuat kuasa.
Gencatan senjata itu mula berkuat kuasa pada 10 Okt 2025 selepas dua tahun serangan Israel di Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 172,000 yang lain, menurut pihak berkuasa Palestin.
Di bawah fasa kedua pelan Gaza Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Israel dijangka melaksanakan pengunduran lanjut dari wilayah itu.
Pada masa sama, pasukan penstabilan antarabangsa akan mengambil alih tanggungjawab keselamatan, termasuk memudah cara penghantaran bantuan kemanusiaan dan bahan pembinaan semula.
-- BERNAMA-ANADOLU