Skip to main content

Malaysia

KPT, KKM bincang isu graduan farmasi PharmD dalam masa terdekat - CEO MQA

41676641663_ShatarSabran.jpg
Mohammad Shatar berkata perbincangan itu bertujuan mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi oleh kira-kira empat graduan untuk berdaftar sebagai ahli farmasi di Malaysia. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan perbincangan dalam kadar segera berhubung isu graduan program PharmD di Universiti Alexandria, Mesir.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, langkah itu bertujuan mencari penyelesaian terhadap isu dihadapi empat graduan yang berdepan kekangan pendaftaran sebagai ahli farmasi di Malaysia.

Menurut beliau, perbincangan itu akan melibatkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Azlinda Azman dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab serta pihak MQA bagi meneliti langkah terbaik untuk membantu graduan yang terjejas.

"Kita (MQA) hendak memohon kepada KKM agar diberikan sedikit kelonggaran atau pengecualian kepada graduan yang terjejas.

“Kerana ini merupakan bidang kuasa KKM di mana Lembaga Farmasi Malaysia (LFM) dapat memberi peluang untuk menerima para pelajar ini melaksanakan tugas sebagai ahli farmasi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Shatar berkata ijazah daripada program berkenaan diiktiraf oleh MQA, namun masih memerlukan pengesahan LFM sebelum dibenarkan berkhidmat dalam bidang farmasi di Malaysia.

Menurut beliau, program tersebut pada asalnya dikenali sebagai Ijazah Sarjana Muda Farmasi (Farmasi Klinikal) sebelum penjenamaan semula kepada PharmD pada 2019.

Image
UNIVERSITI ALEXANDRIA
Menurut Mohammad Shatar, institusi pendidikan di Mesir menambah huruf D merujuk kepada perkataan Doktor Farmasi namun jelasnya perkara tersebut tidak diamalkan di Malaysia. 

“Berdasarkan kapasiti saya melihat body of knowledge tidak berubah masih sama seperti yang dulu cuma ditambah PharmD... kami harap KKM dapat bersetuju dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak kami,” katanya.

Tambahnya, insitusi pendidikan di Mesir menambah huruf "D" yang merujuk kepada istilah "Doktor Farmasi", namun jelas Shatar, perkara tersebut tidak diamalkan di Malaysia.

Shatar turut menasihati para pelajar, terutama yang membiayai pengajian sendiri di luar negara, agar merujuk terlebih dahulu program yang ditawarkan atau dipohon kepada MQA melalui Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf).

“Sekiranya program tersebut tidak tersenarai pihak MQA akan menyemak dalam tempoh segera bersama-sama dengan pihak dari luar negara,” katanya lagi.

Pada Jumaat, media melaporkan empat pelajar terbabit tidak dapat menduduki peperiksaan ‘Poison Law’ pada tahun lalu ketika berada di tahun keempat pengajian susulan program yang diikuti mereka tidak diiktiraf oleh LFM.

 

Must Watch Video

Advertisement