Kerjasama Uzbekistan-Malaysia diperluas menerusi sektor pelancongan

Menurut Kedutaan Uzbekistan di Malaysia, dari segi geografi, Uzbekistan terletak di tengah-tengah rantau Asia Tengah, manakala Malaysia berada di kedudukan strategik di Asia Tenggara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pelancongan merupakan tumpuan utama dalam perkongsian Uzbekistan-Malaysia, dengan kedua-dua negara melihat potensi besar untuk mengembangkan hubungan yang membawa manfaat ekonomi serta mempromosikan pertukaran budaya, menurut Kedutaan Uzbekistan di Malaysia.
Ringkasan AI
- Uzbekistan dan Malaysia memperluaskan hubungan pelancongan dengan pengenalan rejim bebas visa sehingga 30 hari bagi warganegara kedua-dua negara. Kedua-dua negara mempunyai warisan budaya Islam yang bersama, menarik pelancong Muslim dari Malaysia, Indonesia, dan Brunei Darussalam.
- Uzbekistan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membangun infrastruktur mesra Muslim seperti kemudahan solat serta hotel dan restoran Halal, menarik pelancong dari Malaysia. Lawatan bersama delegasi pelancongan dan kebudayaan dari kedua-dua negara dijangka berlaku pada 2025.
- Kedutaan Uzbekistan dan syarikat pelancongannya turut menyertai Pameran MATTA di Kuala Lumpur bagi mempromosikan potensi pelancongan Uzbekistan. Jumlah pelancong Malaysia yang melawat Uzbekistan terus meningkat, dengan Uzbekistan Airways, Batik Air, dan AirAsia mengendalikan penerbangan secara langsung antara kedua-dua negara.
"Berkat usaha pemimpin kedua-dua negara, hubungan dua hala antara Uzbekistan dan Malaysia secara konsisten berkembang berasaskan prinsip persahabatan, saling mempercayai dan menghormati."
Kedutaan itu menekankan bahawa hubungan sejarah dan budaya terus mempengaruhi kerjasama pelancongan secara positif.
"Kedua-dua negara tergolong dalam dunia Islam dan amat berbangga dengan warisan budaya Islam yang dikongsi bersama," katanya sambil menyatakan bahawa bandar bersejarah Uzbekistan, Samarkand, Bukhara dan Khiva, merupakan pusat budaya dan pembelajaran Islam purba, sekali gus menarik pelancong Muslim dari Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.
"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Uzbekistan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mewujudkan infrastruktur mesra Muslim, termasuk kemudahan solat baharu serta hotel dan restoran Halal," menurut kedutaan itu.
"Samarkand dan Bukhara, sebagai pusat spiritual dan sejarah utama, menarik kumpulan pelancong dari Malaysia," tambahnya.
Kedutaan itu berkata Jawatankuasa Pelancongan Uzbekistan "bekerjasama secara aktif" dengan Pusat Pelancongan Islam di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dalam mempelajari pengalaman Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim.
Kedutaan itu juga menyatakan bahawa pada 2025, puluhan lawatan bersama delegasi pelancongan dan kebudayaan dari Uzbekistan dan Malaysia telah diadakan.
Antara aktiviti utama ialah lawatan delegasi Malaysia yang terdiri daripada kepimpinan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), selain lebih 25 wakil syarikat pelancongan utama.
Bagi mempromosikan lagi potensi pelancongan Uzbekistan, delegasi Jawatankuasa Pelancongan Uzbekistan dan syarikat pelancongannya menyertai Pameran MATTA di Kuala Lumpur pada 4-6 Sept, yang turut menampilkan persembahan tarian tradisional Uzbekistan oleh kumpulan kebudayaan dari Wilayah Andijan.
Menurut kedutaan itu, ketibaan pelancong dari Malaysia terus meningkat secara berterusan.
"Pada 2023, hampir 4,500 pelancong Malaysia melawat Uzbekistan dan pada 2024, jumlah itu meningkat kepada 9,500," menurut kedutaan itu sambil menambah bahawa "pada tahun ini, negara itu menjangka untuk menerima lebih 13,000 pelancong Malaysia."
Kesalinghubungan udara menjadi penyumbang utama kepada peningkatan jumlah ketibaan pelancong.
Pada masa ini, Uzbekistan Airways, Batik Air dan AirAsia mengendalikan penerbangan terus tujuh kali seminggu bagi laluan "Kuala Lumpur-Tashkent-Kuala Lumpur".
Selain itu, mulai 14 Dis, Batik Air akan mengendalikan penerbangan terus bagi laluan "Tashkent-Langkawi-Tashkent" sekali seminggu, katanya.
Uzbekistan juga bekerjasama rapat dengan agensi pelancongan Malaysia melalui program "Umrah Plus", yang membolehkan jemaah mengunjungi tapak suci di Uzbekistan sebelum meneruskan perjalanan ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


