KUALA LUMPUR: Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) dijangka menghimpunkan lebih 4,000 delegasi dari dalam dan luar negara sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform utama rantau ini dalam membincangkan agenda peralihan tenaga.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, persidangan itu menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, pelabur, pemain teknologi serta institusi kewangan bagi membincangkan hala tuju sektor tenaga masa depan.
Menurut beliau, peserta boleh menjangkakan pelbagai perbincangan berimpak tinggi melibatkan tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI), pembangunan grid masa hadapan serta kerjasama serantau dalam sektor tenaga.
"Yang lebih penting, ETCon26 memberi fokus kepada bagaimana idea dan dasar dapat diterjemahkan kepada tindakan serta pelaksanaan sebenar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena ETCon26 yang turut mendapat sokongan kepimpinan tertinggi negara termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata, sokongan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjadikan peralihan tenaga sebagai agenda strategik negara yang bukan sahaja melibatkan sektor tenaga, malah merangkumi aspek ekonomi dan teknologi.
"Kehadiran kedua-dua pemimpin tertinggi negara memberi keyakinan kepada pelabur dan pemain industri bahawa Malaysia mempunyai komitmen yang jelas dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta membangunkan ekosistem tenaga yang mampan, berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan," katanya.
ETCon26 turut menampilkan lebih 80 penceramah dan 40 rakan strategik dari Malaysia serta pelbagai negara lain yang mewakili sektor tenaga, teknologi, kewangan dan dasar awam.
Selain ucaptama oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, antara sesi yang dijangka menjadi tumpuan ialah Dialog Peringkat Tertinggi Menteri yang menghimpunkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Menteri Ekonomi serta Menteri Digital.
Sesi tersebut akan membincangkan bagaimana agenda tenaga, ekonomi dan digital dapat digerakkan secara selari bagi memperkukuh daya saing negara.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata beberapa kerjasama strategik akan dimeterai sepanjang persidangan bagi mempercepat agenda peralihan tenaga negara.
Antaranya melibatkan pembangunan projek solar berskala besar dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), termasuk kerjasama antara TNB Renewables Sdn Bhd dan SME Consortium bagi projek Ground Mounted Solar dan BESS.
Selain itu, projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) dan BESS turut melibatkan kerjasama antara TNB Genco, Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Cypark Renewable Energy Sdn Bhd dan Fabulous Sunview Sdn Bhd.
Menurut beliau, kerjasama tersebut membuktikan bagaimana syarikat utiliti, pemaju tenaga boleh baharu, sektor korporat dan kerajaan negeri dapat berganding bahu merealisasikan projek berskala besar yang menyokong sasaran peralihan tenaga negara.
"Selain meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu, projek-projek ini juga membantu memperkukuh kestabilan sistem tenaga melalui penggunaan teknologi penyimpanan tenaga yang lebih maju," katanya.
Mengulas peranan TNB selepas persidangan itu, Shamsul menegaskan kejayaan ETCon26 tidak boleh diukur hanya melalui perbincangan yang berlangsung sepanjang acara.
Sebaliknya, katanya, kejayaan sebenar terletak pada keupayaan semua pihak menterjemahkan hasil perbincangan kepada projek, pelaburan dan pelaksanaan yang memberi manfaat kepada negara.
"TNB berperanan sebagai pemudah cara yang menghimpunkan kerajaan, industri, pelabur dan pemain teknologi supaya kerjasama dapat diwujudkan dan dipercepatkan.
"Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan ETCon26 menjadi pemangkin kepada tindakan yang nyata, selaras dengan aspirasi NETR dan keperluan masa depan tenaga negara," katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Rabu.