KUALA LUMPUR: Kerugian bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkurangan kepada RM182.31 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2021 daripada kerugian bersih RM319.71 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2020.

Perolehan naik kepada RM461.33 juta daripada RM396.69 juta sebelumnya, didorong oleh jumlah penumpang yang lebih tinggi untuk operasi Turkinya berikutan pembukaan pintu sempadan dan perjalanan rentas negeri.

"Operasi di Turki menunjukkan ia akan kembali normal apabila trafik penumpang meningkat daripada 4.9 juta kepada 8.9 juta penumpang.

"Trafik penumpang untuk operasi di Malaysia menguncup sebanyak 77.8 peratus kepada 1.0 juta penumpang berbanding 4.5 juta penumpang pada suku yang sama tahun lepas, kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh dilaksanakan semula mulai 1 Jun, 2021.

"Secara keseluruhan, ia mencatatkan penurunan perolehan sebanyak 40.3 peratus kepada RM151.3 juta," kata pengendali lapangan terbang itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

Ia juga berkata rangkaian lapangan terbang MAHB merekodkan 21.9 juta penumpang dari 1 Jan, 2021 hingga 30 Sept, 2021, berkurangan sebanyak 39.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Dalam tempoh yang sama, trafik kumpulan untuk penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing merosot sebanyak 51.1 peratus dan 33.0 peratus.

Seiring dengan itu, pergerakan pesawat kumpulan itu susut sebanyak 32.2 peratus dengan pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik masing-masing turun sebanyak 28.6 peratus dan 33.8 peratus.

"Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai sebanyak 90 peratus daripada populasi dewasa divaksinasi sepenuhnya, sasaran yang membawa kepada pengumuman yang sangat ditunggu-tunggu daripada kerajaan iaitu membenarkan rakyat Malaysia divaksin sepenuhnya melakukan perjalanan merentas negeri dan melancong ke luar negara.

"Pengumuman itu bersama inisiatif MAHB memastikan kesihatan, keselamatan dan pengalaman penumpang bertaraf dunia ini akan membantu meningkatkan prospek trafik Malaysia untuk pulih dalam tempoh terdekat apabila sektor penerbangan dimulakan semula dan akhirnya kembali normal," katanya.

-- BERNAMA