KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM1.30 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022, lebih dua kali ganda berbanding RM526.93 juta yang dilaporkan pada tahun sebelum ini.

Perolehan turut menokok kepada RM3.30 bilion daripada RM2.24 bilion, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat tahun kewangan 2022, keuntungan bersih bank itu susut kepada RM138.26 juta berbanding RM206.85 juta yang dicatatkan semasa suku yang sama tahun kewangan 2021, manakala perolehan merosot kepada RM566.71 juta daripada RM572.13 juta.

Affin Bank dalam kenyataan berasingan kepada bursa menjelaskan keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan telah melonjak 120.2 peratus kepada RM1.55 bilion pada tahun kewangan 2022 daripada RM703.85 juta, selepas disokong oleh peningkatan dalam pendapatan faedah bersih kumpulan (NII).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Razly Abdullah berkata: "Peningkatan PBT telah disokong oleh kenaikan NII sebanyak 13.9 peratus atau RM124.5 juta kepada RM1.02 bilion berbanding tahun kewangan 2021, serta penambahan 39.3 peratus kepada RM346.0 juta dalam PBT Affin Islamic Bank Bhd.

"Pertumbuhan kukuh dalam PBT kumpulan juga disumbangkan oleh keuntungan daripada pelupusan Affin Hwang Asset Management Bhd."

Wan Razly berkata NII yang lebih tinggi itu disumbangkan oleh pertumbuhan pinjaman sebanyak 15.4 peratus.

Selain itu, beliau berkata Affin Islamic Bank Bhd merupakan penyumbang utama kepada kumpulan apabila PBTnya mencatatkan rangsangan 39.3 peratus atau RM97.5 juta berikutan pertumbuhan pembiayaan yang kukuh pada 15.3 peratus bagi tahun kewangan 2022.

Affin Group terus menunjukkan kemajuan ketara dalam nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) apabila GIL menurun kepada 1.97 peratus, berbanding 2.54 peratus yang disaksikan semasa tahun kewangan 2021, disebabkan usaha pemulihan dan piawaian pengunderaitan yang lebih ketat.

Kumpulan itu terus mengukuhkan rizabnya berikutan peningkatan liputan kerugian pinjaman (LLC) serta rizab kerugian pinjaman (LLR) masing-masing pada 109.0 peratus dan 150.0 peratus, berbanding LLC sebanyak 72.5 peratus dan LLR sebanyak 130.2 peratus pada tahun kewangan 2021.

Lembaga pengarah mencadangkan dividen akhir sebanyak RM176.7 juta atau 7.77 sen sesaham bagi tahun kewangan 2022, menjadikan jumlah dividen kepada 30.39 sen sesaham selepas dividen khas dan interim sebanyak 22.62 sen yang dibayar kepada pemegang saham pada 29 Dis 2022.

Ini mewakili jumlah pembayaran dividen sebanyak RM677.1 juta atau 53.3 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan bagi tahun kewangan 2022.

Melangkah ke hadapan, bank itu berkata bahagian perbendaharaan kumpulan akan menumpukan kepada empat bidang utama seperti membina keupayaan bagi menjana pendapatan bukan faedah yang stabil serta berulang, meningkatkan pulangan aset kumpulan dan memanfaatkan manfaat sinergi Affin Group untuk mengukuhkan pendapatan perbendaharaan.

-- BERNAMA