KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatatkan keuntungan bersih tinggi sebanyak RM9.35 bilion, peningkatan 17.5 peratus, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023, berbanding RM7.96 bilion pada Tahun Kewangan 2022.

Hasil meningkat kepada RM64.47 bilion daripada RM49.42 bilion sebelumnya, kata Maybank dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi suku keempat 2023 (4Q 2023), bank itu mencatatkan keuntungan bersih RM2.39 bilion daripada RM2.21 bilion pada suku yang sama pada 2022, manakala hasil meningkat kepada RM17.13 bilion daripada RM15.03 bilion.

Bagaimanapun, pendapatan faedah bersih dan pendapatan perbankan Islam kumpulan bagi Tahun Kewangan 2023 turun sebanyak RM860.7 juta atau 4.1 peratus kepada RM20.37 bilion berbanding Tahun Kewangan 2022.

Maybank juga berkata keputusan perkhidmatan insurans/takaful berkembang sebanyak RM338.4 juta atau 159.9 peratus kepada RM550.1 juta bagi Tahun Kewangan 2023 berbanding Tahun Kewangan 2022.

Pendapatan operasi lain kumpulan juga meningkat RM3.39 bilion atau 73.5 peratus kepada RM7.99 bilion pada Tahun Kewangan 2023, daripada RM4.60 bilion pada Tahun Kewangan 2022.

"Peningkatan itu disumbang terutamanya daripada kerugian penyelarasan nilai aset tidak direalisasikan bagi penilaian semula derivatif sebanyak RM2.40 billion, keuntungan pertukaran asing tinggi sebanyak RM1.17 bilion dan pendapatan pelaburan bersih sebanyak RM319.9 juta bagi Tahun Kewangan 2023 (antara lainnya)," katanya.

Bagaimanapun, bank itu berkata, kenaikan itu diimbangi oleh keuntungan penyelarasan nilai aset tidak direalisasi yang rendah bagi penilaian semula liabilti kewangan pada nilai adil menerusi keuntungan atau kerugian (FVTPL) sebanyak RM2.51 bilion dan kerugian direalisasi bagi derivatif sebanyak RM60.1 juta bagi Tahun Kewangan 2023 berbanding keuntungan direalisasi bagi derivatif sebanyak RM896.1 juta bagi Tahun Kewangan 2022.

-- BERNAMA