Pertukaran taktikal jadi kunci emas regu Malaysia - Ahmad Jais

Ahmad Jais berkata keputusan berani itu dibuat selepas menyedari corak permainan lawan mula menguasai perlawanan. - Gambar Bernama
CHONBURI: Ketua jurulatih sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun menyifatkan pertukaran taktikal memasukkan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican bagi menggantikan Zulkifli Razak sebagai langkah tepat dalam melunturkan semangat pemain tuan rumah Thailand, sekali gus membolehkan Malaysia muncul juara acara regu berpasukan pada Sukan SEA 2025.
Ringkasan AI
- Pertukaran taktikal memasukkan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican menggantikan Zulkifli Razak memberi kesan positif dalam mengatasi tekanan semasa, membolehkan Malaysia menjuarai acara regu berpasukan pada Sukan SEA 2025.
- Keputusan berani tersebut membantu Malaysia menewaskan pasukan tuan rumah Thailand dalam perlawanan yang mendebarkan, dengan regu ketiga menyumbang kepada kemenangan pingat emas yang dinantikan selama 34 tahun.
- Muhammad Zarif menekankan bahawa kejayaan pasukan adalah hasil kerjasama bersama, mengakui peranan semua rakan sepasukan dan sokongan rakyat Malaysia dalam mencapai kejayaan tersebut.
"Taktikal kami sedikit sebanyak memberikan kesan kepada pasukan dan untuk regu ketiga. Alhamdulilah ini satu perkara positif, mana-mana pemain kita beri tanggungjawab untuk melakukan dengan yang terbaik," katanya kepada Bernama.
Pada aksi mendebarkan itu, regu pertama negara Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Amirul Zazwan Amir tewas 9-15, 15-11, 13-15 kepada trio Thailand, Pornthep Tinbangbon, Varayut Jantarasena dan Marukin Phanmakon.
Regu kedua negara yang dianggotai Mohammad Syahir Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam bagaimanapun menyuntik semangat kebangkitan Malaysia apabila menewaskan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan 17-14, 15-13, sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.
Momentum itu diteruskan pada set penentuan apabila regu ketiga yang pada mulanya diwakili Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi tampil tenang memberi kemenangan 15-13 pada set pertama.
Pertukaran strategi Ahmad Jais pada hujung perlawanan dengan memasukkan Muhammad Zarif nyata memberi impak penting sebelum Malaysia mengesahkan pingat emas menerusi kemenangan 15-11 pada set kedua, sekali gus menjulang kejuaraan yang dinanti selama 34 tahun.
Muhammad Zarif dalam pada itu tidak mahu mendabik dada selain menyifatkan kejayaan diraih adalah hasil kerjasama berpasukan.
"Semua kawan-kawan saya adalah hero mahupun dekat luar atau dalam, saya tidak rasa saya sorang sahaja tetapi satu pasukan.
"Kami semua pasukan sepak takraw telah buktikan tiada yang mustahil, alhamdulilah berkat doa rakyat Malaysia kami dapat pingat emas," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


